Penyanyi Harry Styles labur dalam arena konsert baru di Manchester
Sementara kebanyakan artis terkemuka merancang konsert jelajah mereka pada 2021, Harry Styles pula mempunyai wawasan lebih jauh.
Harry Styles semasa persembahan di rancangan Today saluran NBC pada 26 Feb 2020 di New York. (Gambar: Charles Sykes/Invision/AP)
LONDON: Sementara kebanyakan artis terkemuka merancang konsert jelajah mereka pada 2021, Harry Styles pula mempunyai wawasan lebih jauh.
Styles ialah salah satu pelabur dalam sebuah tempat konsert baru bernilai £350 juta (S$621.4 juta) di Manchester, England, yang dipanggil Co-op Live.
Projek itu, yang diumumkan pada Isnin (26 Okt), adalah gabungannya dengan Oak View Group dan mereka berharap ia akan menjadi sebuah arena konsert terbesar di UK.
"Selagi semuanya berjalan lancar menjelang 2023, mudah-mudahan mereka akan benarkan saya membuat persembahan di sana. Jika saya belum lagi melakukan kesilapan,” kata Styles sambil tersenyum.
Setelah 10 tahun mengadakan konsert di serata dunia serta persembahan memecah rekod di pelbagai stadium bersama One Direction, Styles, 26, tahu apa yang beliau mahukan dari sebuah tempat persembahan, baik dari sudut pandangan seorang artis mahupun penonton.
"Pada dasarnya, saya peminat muzik," katanya. "Saya suka menghadiri persembahan, saya suka persembahan muzik secara langsung."
Bagi para artis persembahan, beliau juga mahu mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.
"Apa yang akan membezakannya daripada sekadar konsert jelajah? Saya mahu tempat ini diingati oleh para artis yang telah melakukan konsert dan untuk mereka menanti-nantikan mengadakan persembahan."
Pekerjaan pertama Styles adalah sebagai penghantar suratkhabar secara sambilan untuk sebuah kedai Co-op di Holmes Chapel, Cheshire, sebelum waktu sekolah. Maka itu untuk bekerjasama dengan mereka sekarang seakan-seakan membawanya kembali ke tempat beliau bermula.
"Mungkin semasa persembahan pertama, mereka akan menyuruh saya menghantar surat khabar ke setiap tempat duduk," katanya dengan bersenda.
Bapa Styles menetap di Manchester. Bandar di utara England itu baru-baru ini dikenakan langkah sekatan ketat oleh kerajaan UK kerana jumlah kes virus korona yang tinggi.
"Ini adalah masa yang sukar. Manchester akan bangkit semula. Ia pasti akan berlaku. Seperti di mana-mana, yang penting adalah untuk menjaga satu sama lain."
Pandemik COVID-19 mengganggu rancangan konsert jelajahnya untuk menyokong album Fine Line hingga Disember 2020.
Styles bagaimanapun tetap optimistik. Tarikh persembahan telah ditunda ke 2021 dan beliau berkata bahawa beliau lebih prihatin tentang keselamatan kru dan peminatnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.