Penyanyi era Pop Yeh-Yeh, M. Ishak masuk hospital akibat barah paru-paru
Penyanyi era 60-an dan 70-an, M. Ishak, yang popular dengan lagu 'Yale Yale' dimasukkan ke hospital akibat penyakit barah paru-paru.
Petikan gambar dari video. (Gambar: YouTube)
KUALA LUMPUR: Penyanyi era 60-an dan 70-an, M. Ishak, yang popular dengan lagu 'Yale Yale' dimasukkan ke hospital akibat penyakit barah paru-paru.
Menurut anak beliau, Mohd Nazaruddin atau dikenali dengan panggilan Zack, 43 tahun, bapanya sudah dua hari berada di Hospital Tan Tock Seng dan sedang menjalani rawatan, lapor Utusan Online.
“Doktor beritahu ayah saya disyaki menghidap barah paru-paru dan tekaknya sekarang sudah bengkak.
“Sekarang kita sedang menanti hasil imbasan otak bagi mengetahui sama ada barah tersebut sudah merebak ke bahagian otak atau tidak,” katanya kepada Utusan Online.
Zack berkata, sebelum ini bapanya tidak pernah dimasukkan ke hospital bagi penyakit serius dan cuma ketika beliau pulang dari membuat persembahan di Kluang, Johor pada bulan November lalu, beliau mengadu sakit tekak.
“Jemputan persembahan pada bulan Disember semuanya ditolak sebab ayah sudah tidak larat untuk menyanyi dan mula mengalami batuk yang teruk,” katanya.
Buat masa ini, doktor memberitahu keadaan M. Ishak berada di tahap yang membimbangkan, lapor Utusan.
Keadaan fizikalnya juga sudah semakin kurus, tidak lalu makan dan lebih banyak berkhayal.
“Ingatan dia pun sudah tidak berapa kuat. Cuma ayah ada beritahu yang dia risau dengan keadaan sekarang yang menyukarkan dia untuk menyanyi.
“Saya sampai pesan pada dia, buat masa sekarang, kesihatannya lebih penting daripada kerjaya nyanyiannya yang menjadi punca rezeki selama ini,” kata anak kepada penyanyi yang popular semasa zaman Pop Yeh Yeh itu.
Beberapa rakan artis termasuk di Singapura dan Malaysia seperti Jeffrydin turut menziarahi M.Ishak di Singapura, menurut laporan Utusan Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.