Skip to main content

Hiburan

Penyanyi Ella beraya bersama peminat SG, promosi konsert 9 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi Ella beraya bersama peminat SG, promosi konsert 9 Mei

Ella dan suami berduet menyanyikan lagu Raya untuk 25 peminat di Rumah Terbuka Majlis Tertinggi Rockqueen. (Gambar: Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: 25 anggota kelab peminat Ratu Rock, Ella's Gang menghabiskan masa bersilaturrahim dengan idola Rock mereka sempena Hari Raya. 

Kunjungan Ella ke Singapura pada Rabu (1 Apr)  itu juga dalam rangka mempromosikan konsertnya yang akan berlangsung di Star Theatre pada 9 Mei nanti.

RUMAH TERBUKA MAJLIS TERTINGGI ROCKQUEEN

Demi tidak menghampakan peminatnya, Nor Zila Aminuddin yang lebih dikenali sebagai Ratu Rock Ella, menyanyikan sebuah lagu Raya secara duet bersama suaminya, Azhar Ghazali, diikuti lagu Dua Insan Bercinta.

Lebih dari itu, majlis Rumah Terbuka Majlis Tertinggi RockQueen Ella merupakan tanda penghargaan Ella terhadap sokongan peminat di  sepanjang perjalanan kerjayanya.

"Tanpa mereka, saya tiada siapa-siapa. Dan yang penting silaturrahim kami. Dan juga nak beraya," ujar Ella diikuti senyuman dan keletah manja yang menjadi 'identiti' ratu rock itu. 

Bagi sebahagian peminat, peluang untuk makan bersama sambil beramah mesra bersama artis yang diminati terlalu berharga.

"Sebagai peminat setia Ella, saya rasa teruja, berbesar hati dan bersyukur kerana mendapat undangan ke acara seperti ini. Saya rasa ini bukan setakat beraya bersama-sama, tetapi untuk makan bersama-sama dengan idola yang memang saya minati sejak umur saya 11 tahun lagi, saya rasa amat gembiralah," luah seorang anggota Kelab Peminat Ella's Gang, Haznita Jaafar. 
 
PERSEMBAHAN LEBIH MANTAP, KOLABORASI BERSAMA ARTIS SG

Menyusuli konsert di Kuala Lumpur pada 14 Februari yang berjaya menarik 60,000 peminat, Ella yang sudah lebih 40 tahun berkarya itu menjanjikan kejutan buat peminat Singapura dan penambahbaikan jika berbanding konsert KL.

"Tentunya kita ada melakukan perubahan, seperti - Ella akan menyanyi dengan artis Singapura. Pastinya ada perubahan dari segi susunan dan pemilihan lagu," dedah Ella yang banyak berahsia tentang rancangannya. 

"Macam di Malaysia, Ella boleh berlari sambil menyanyi! Memang sangat hebat, dengan lagu-lagu pilihan yang sangat bagus dan peminat di Malaysia memang sangat menyokong habis-habisan. Malah kanak-kanak berumur lapan tahun pun boleh ikut menyanyi sama," ujar Ketua, Kelab Peminat Ella's Gang, Badron Hazlie.

"Saya selalu menonton konsert Ella. Jadi tiap-tiap tahun memang saya nantikan tenaga yang sama bersemangat, lagu-lagu yang boleh diikut nyanyi bersama - yang berkaraoke ramai-ramai. Tak tahulah tahun ini undangan Ella, siapa kan? Tapi saya setakat hadir mendengarnya sudah menggamit kenangan lama. Itu yang saya teruja untuk menonton," luah Haznita. 

LANGKAH BERJAGA-JAGA DIPERTINGKAT DEMI ELAK GANGGUAN BUNYI

Berikutan insiden gangguan sistem bunyi di tingkat 3 konsertnya sewaktu konsert di Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu, Ella meyakinkan peminat Singapura bahawa langkah-langkah sudah diambil bagi memastikan ia tidak berlaku dalam konsertnya di sini. 

Tegas Ella, "Kita sudah bersedia - seperti kita ada pakar dan pegawai keselamatan yang akan menjaga sistem pencahayaan, sistem bunyi, aspek akustik dan sebagainya. Jadi tak perlu khuatir tentang itu, InsyaAllah".  

Konsert Majlis Tertinggi RockQueen dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, dengan sokongan SAH Entertainment. 
 

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita