Skip to main content

Hiburan

Penyanyi dan penulis lagu Neil Sedaka meninggal dunia pada usia 86 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi dan penulis lagu Neil Sedaka meninggal dunia pada usia 86 tahun
Neil Sedaka bergambar di New York pada 30 April 2012. (Gambar: AP Photo/Charles Sykes)

NEW YORK: Penyanyi dan penulis lagu yang menghasilkan pelbagai lagu hit, Neil Sedaka, meninggal dunia.

Beliau terkenal dengan suara soprano serta melodi riang yang menjadikannya antara artis terkemuka pada tahun-tahun awal rock ‘n’ roll, membawanya kepada gelombang kejayaan kedua pada tahun 1970-an.

Sedaka, yang mempunyai lagu-lagu hit termasuk 'Breaking Up Is Hard to Do' dan 'Laughter in the Rain', meninggal dunia pada Jumaat (27 Feb) pada usia 86 tahun.

“Keluarga kami amat berdukacita atas pemergian mengejut suami, bapa dan datuk yang kami kasihi, Neil Sedaka,” menurut kenyataan keluarganya.

“Seorang legenda rock and roll sejati, inspirasi kepada jutaan orang, tetapi yang paling penting, sekurang-kurangnya bagi kami yang bertuah mengenalinya, seorang insan luar biasa yang akan amat dirindui.”

Tiada butiran lanjut mengenai kematiannya setakat ini.

Sebagai anggota penting dalam kilang penulisan lagu Brill Building, Sedaka bekerjasama dengan penulis lirik dan jirannya, Howard Greenfield, bagi menghasilkan lagu-lagu yang mencerminkan era selepas Elvis dan sebelum Beatles pada akhir 1950-an hingga awal 1960-an, termasuk 'Happy Birthday Sweet Sixteen', 'Calendar Girl dan Oh! Carol', sebuah lagu buat kekasih sekolah menengahnya, Carole King.

Selepas tempoh tidak aktif yang panjang, beliau kembali mencipta kejayaan menerusi lagu-lagu popular seperti 'Laughter in the Rain' dan 'Bad Blood'.

Versi nyanyian semula 'Love Will Keep Us Together' oleh The Captain & Tennille juga menjadi lagu yang menduduki carta teratas pada 1975.

Sumber : AP/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita