Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi baru berusia 13 tahun, Iman Balqis, muncul dengan 'suara dewasa' dalam lagu single duet

Mendengar alunan vokal lantangnya, ramai yang tidak menyangka ia adalah milik pendatang baru Iman Balqis yang baru mencecah usia 13 tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi baru berusia 13 tahun, Iman Balqis, muncul dengan 'suara dewasa' dalam lagu single duet

Iman Balqis baru mengeluarkan single barunya. (Gambar: Lilamajnunkualalumpur/ Facebook)

Diterbitkan : 24 Nov 2017 11:15PM Dikemas Kini : 24 Nov 2017 11:28PM

KUALA LUMPUR: Mendengar alunan vokal lantangnya, ramai yang tidak menyangka ia adalah milik pendatang baru Iman Balqis yang baru mencecah usia 13 tahun. 

Walaupun tidak pernah mempunyai pendidikan formal dalam bidang vokal, kebolehan penyanyi cilik itu membawa lagu bernada tinggi berjaya memukau penonton ketika mempersembahkan 'single' terbarunya, 'Api dan Cinta', duet bersama penyanyi Ayied Saharin, 25 tahun, kelmarin (22 Nov).

"Ibu bapa mula mengesan bakat saya sejak umur lima tahun lagi dan selepas itu saya tidak pernah menoleh ke belakang lagi untuk mengejar impian sebagai penyanyi,” katanya di majlis pelancaran lagu duet ciptaan komposer terkenal Rosli Selasih.

Menjadikan penyanyi antarabangsa Ariana Grande sebagai idola, Iman Balqis juga berhasrat untuk mencuba pelbagai genre lagu dalam memantapkan kariernya sebagai seorang penyanyi versatil. 

Malah dalam memeriahkan industri hiburan negara, penyanyi yang bernaung di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd itu juga tidak menolak untuk terus 'disatukan' dengan Ayied Saharin sebagai pasangan duet untuk projek seterusnya. 

"Tidak susah mencari keserasian walaupun jarak usia kami amat berbeza dan lebih memudahkan saya untuk membawa lagu ini kerana genrenya bertepatan dengan ton suara," katanya. 

Sementara itu, Pengurus Artis dan Repertoire Luncai Emas Sham Amir Hussain berkata kemunculan Iman Balqis dan Ayied Saharin sebagai penyanyi duo dilihat mampu menjadi pelapis penyanyi duet tanah air. 

"Bukan senang untuk menyatukan dua penyanyi yang mempunyai keserasian yang begitu menyerlah seperti pasangan Achik Spin-Siti Nordiana dan Nurul Wahab-Ajai, jadi kita merancang untuk terus menghasilkan lagu duet untuk mereka selain lagu solo masing-masing,” katanya yang turut merancang membawa 'Api dan Cinta’ ke pasaran Indonesia.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan