Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyanyi 'Apo Kono Eh Jang', Mastura Ismail meninggal dunia

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu 'Apo Kono Eh Jang', Mastura Ismail, 65 tahun, menghembuskan nafas terakhir akibat barah ovari tahap empat di kediamannya di Taman Cheras Idaman, di Kuala Lumpur pada jam 8.39 Rabu malam (9 Feb).

Mengesahkan berita pemergian Allahyarhamha Mastura, adalah anak saudaranya yang juga seorang penyanyi, Oja, ketika dihubungi oleh BH Online.

"Arwah baru sahaja dikesan mengidap barah ovari tahap empat, beberapa bulan lalu. Sebelum itu, arwah memang selalu mengadu sakit pada bahagian perut, tetapi tidak mendapatkan rawatan.

"Sebaliknya, arwah hanya melakukan rawatan kampung. Bagaimanapun, arwah hanya bersetuju membuat pemeriksaan apabila puas dipujuk.

"Namun, keadaan kesihatan arwah semakin merosot sejak sebulan lalu apabila bahagian perut semakin membesar.

"Arwah juga pernah beberapa kali menjalani pembedahan membuang cecair pada bahagian perut," kata beliau kepada BH Online.

Oja yang juga peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh itu berkata, dia bersyukur sempat membacakan surah yasin, sebelum arwah pejam mata buat selama-lamanya.

"Selepas beberapa hari mendapat rawatan di Institut Kanser Negara (IKN), doktor menasihatkan anggota keluarga membawa arwah pulang selepas mendapati keadaannya semakin lemah.

"Arwah dibawa pulang kira-kira jam 3 petang tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri. Selepas selesai urusan kerja, saya bergegas ke rumahnya untuk menziarah.

"Baru membaca beberapa ayat, arwah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang tenang," ujar Oja.

Oja atau nama sebenarnya, Daninas Huza Daud berkata, jenazah ibu saudaranya itu berada di kediamannya di Taman Rakan Cheras.

"Jenazah akan dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Taman Rakan Cheras sebelum dikebumikan esok sebelum waktu Zohor di Tanah Perkuburan Islam Sungai Long," kata Oja.

Allahyarhamha Mastura yang juga seorang balu meninggalkan dua cahaya mata dan dua cucu, seperti dinukil BH Online.

Arwah mula mencipta nama lagu duet menggunakan loghat Negeri Sembilan, 'Apo Kono Eh Jang!' yang dinyanyikannya bersama Ally Noor berjaya mencetuskan fenomena sekitar 1980-an.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan