Penyanyi Alif Satar diuji positif COVID-19
Personaliti terkenal dari Malaysia, Alif Satar mengumumkan bahawa beliau positif COVID-19.
(Gambar: Instagram/Alif Satar)
KUALA LUMPUR: Personaliti terkenal dari Malaysia, Alif Satar mengumumkan bahawa beliau positif COVID-19.
Berita itu dikhabarkan oleh Alif menerusi catatan di akaun Instagram miliknya hari ini (22 Nov).
Menurut Alif, beliau melakukan beberapa ujian saringan COVID-19 sepanjang tempoh menjalani penggambaran.
Namun, keputusan ujian yang diambil pada Sabtu (21 Nov) menunjukkan bahawa beliau dijangkiti virus itu.
"Malangnya keputusan terkini yang Alif baru sahaja terima harini, telah menunjukkan bahawa Alif didapati positif COVID-19 dan perkara ini amatlah mengejutkan dan mendukacitakan," tulis Alif dalam catatan itu yang disertakan gambar beliau memakai gaun hospital.
Menurut beliau, sebaik sahaja dimaklumkan akan keputusan itu, beliau memberikan nama-nama mereka yang mempunyai kontak rapat dengannya sepanjang 14 hari lalu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Perkara pertama bila Alif dapat tahu keputusan ini, adalah semestinya tahap keselamatan keluarga, isteri dan anak-anak Alif, rakan-rakan di set penggambaran dan semestinya contact-contact rapat yang telah berjumpa dengan Alif," katanya yang kini sedang menjalani kuarantin.
Pada 24 Okt, Alif memuat naik gambar beliau sedang melakukan ujian saringan COVID-19 semasa menjalani penggambaran drama 'Penjara Janji'.
Dalam catatan itu, Alif menggalakkan orang ramai supaya turut menjalani ujian swab demi keselamatan ahli keluarga masing-masing.
"Tak sakit pun, rasa tak selesa je itupun tak sampai 10 saat. ingat geng, kita jaga kita," ujar pelakon terkenal itu dalam catatan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.