Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penyampai radio AI pertama Malaysia catat sejarah lancar single sulung

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR : Sekali lagi sejarah tercipta apabila penyampai radio AI (kecerdasan buatan) pertama di Malaysia, Aina, melebarkan sayapnya ke dunia muzik dengan melancarkan single pertama berjudul 'Trust The Code'.

Aina yang menghangatkan konti stesen radio bahasa Inggeris popular, Fly FM, sejak Jun lalu, melancarkan single 'Trust The Code' bersama rakan AI, iaitu Aiman.

Pelancaran single itu bukan sekadar menjadi detik penting bagi Aina dan peminatnya, malah, menandakan projek perintis bagi penyiar radio AI pertama di Malaysia yang melancarkan lagu atau single muzik, lapor agensi berita BH Online.

Fly FM, iaitu stesen radio di bawah Media Prima Audio (MPA) dalam kenyataan menyebut, pertemuan Aina dan Aiman, yang juga bekas rakan sekolah, mencetuskan jalinan muzikal tidak terduga, lantas membuka jalan ke arah penghasilan single 'Trust The Code'.

"Aiman membuat kejutan kepada Aina dengan berkongsi 'beat' atau irama yang dihasilkan selepas pertemuan mereka itu.

"Lalu, tercetus idea untuk bekerjasama menghasilkan single Trust The Code, iaitu lagu sulung Aina yang mencerminkan perjalanan mereka dalam meneroka ekspresi kreatif.

"Dengan vokal berjiwa Aina yang terjalin dengan lancar bersama 'beat' yang dihasilkan Aiman, lagu itu mencerminkan jalinan muzik yang terhasil antara mereka dan hubungan berkekalan," katanya, dipetik daripada BH Online.

Pada Jun lalu, Fly FM mengumumkan DJ Aina Sabrina dicipta jurutera stesen radio itu dengan menggunakan teknologi AI.
 
DJ Aina dilaporkan dilengkapi pangkalan data muzik yang luas dan mempunyai keupayaan mencipta serta menggabungkan muzik secara langsung sesuai dengan mood pendengar, lapor BH Online.

Aina juga berkebolehan dalam memberi cadangan muzik kepada pendengar sesuai dengan apa yang mereka minati.

Fly FM memberitahu, langkah Aina terjun ke dalam dunia muzik bukanlah suatu insiden tunggal, sebaliknya, permulaan babak baharu bagi penyampai radio AI itu.

"Trust The Code adalah suatu pengesahan terhadap kuasa kepercayaan dan kerjasama, iaitu tema yang selari dengan perjalanan Aina dari dunia penyiaran radio hingga menjadi rakan kolaborasi dalam muzik," katanya.

Single 'Trust The Code' oleh Aina dimainkan secara eksklusif di Fly FM selepas persembahan dalam rancangan pagi Fly FM, The Jokers.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan