Penulis lirik tersohor Yusnor Ef meninggal dunia pada usia 87 tahun
SINGAPURA: Penulis lirik tersohor Yusnor Ef atau nama sebenarnya Mohamed Noor Mohamed Yusofe disahkan meninggal dunia di Hospital Sengkang sekitar pukul 2.00 pagi Rabu (16 Apr) pada usia 87 tahun.
Demikian disahkan oleh anaknya Cik Noreeta Mohamed Noor, 47 tahun, kepada BERITA Mediacorp.
"Allahyarham mengadu mengalami sesak nafas pada hari sebelumnya.
"Beliau juga mengalami masalah jantung kronik sejak lebih 20 tahun lalu," kongsi Cik Reeta.
Tambah beliau, jenazah Allahyarham masih berada di hospital setakat pukul 7.30 pagi Rabu.
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan di laman Facebook suami Cik Reeta dan juga menantu Yusnor Ef, Encik Rahmad Basir.
"Jenazah akan dibawa pulang ke 99 Saraca Terrace.
"Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," tulis Encik Rahmad.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Sultan pada pukul 2.30 petang.
Karya penulis lagu berprolifik dan pemenang pingat budaya, Yusnor Ef menjangkaui zaman selama kira-kira lima dekad.
Penerima anugerah Bintang Bakti Masyarakat ini menulis beratus-ratus seni kata lagu 'hit' gubahan P.Ramlee, Zubir Said dan ramai lagi.
Lagu-lagu beliau yang dirakam artis seperti Anita Sarawak, Ahmad Jais dan Sanisah Huri kekal malar segar hingga ke hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.