Skip to main content

Hiburan

Penggiat seni M'sia serah memorandum kes dera Bella kepada TMJ

Beberapa penggiat seni menyerahkan memorandum kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi mendesak agar prosiding kes penderaan ke atas seorang remaja bernama Bella disegerakan, lapor Malaysiakini.

Anggaran Waktu Membaca:
Penggiat seni M'sia serah memorandum kes dera Bella kepada TMJ

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. (Gambar: Tunku Ismail Sultan Ibrahim/Twitter melalui BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Beberapa penggiat seni menyerahkan memorandum kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi mendesak agar prosiding kes penderaan ke atas seorang remaja  bernama Bella disegerakan, lapor Malaysiakini. 

Bercakap mengenai hal itu, pelakon Betty Banafe berkata mereka bimbang kelengahan memulakan prosiding tersebut akan memberi kesan kepada daya ingatan remaja berkenaan, yang juga orang kelainan upaya (OKU).

Betty berkata dengan keadaan Bella yang mengalami Sindrom Down, tahap ingatannya amat berbeza berbanding dengan orang biasa.

“Kami khuatir sekiranya daya ingatan adik Bella amat pendek, mungkin dia akan lupa penderaan tahap empat yang dilakukan terhadapnya," Malaysiakini memetik kata-kata Betty. 

“Penderaan dialaminya bukan setakat tisu terkoyak tetapi termasuk penderaan psikologi dan psikiatri.

“Justeru, kami ambil kesempatan untuk menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan Che Puan Besar Khaleeda Bustamam atas kesanggupan berjuang demi keadilan bersuara untuk anak OKU, adik Bella,” pintanya.

Memorandum itu diserahkan kepada seorang daripada peguam yang dilantik oleh TMJ, iaitu Khairul Anwar Rahmat, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Khairul Anwar dilantik sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, yang didakwa mengabai dan menganiaya Bella.

Selain Khairul Anwar, tiga lagi peguam pemerhati yang dilantik ialah Baljit Singh Sidhu, Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.

Turut hadir di mahkamah ialah Presiden Konsortium Irama, Ayoub Abdul Majid, dan pengarah, pelakon serta penulis skrip, Ellie Suriati Omar.

Tambah Betty, atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Benafe, mereka merupakan antara rakyat Malaysia ingin menjadi ‘suara’ untuk Bella bagi memperjuangkan keadilan yang telus buat anak istimewa terbabit.

Beliau memberitahu Malaysiakini kes penderaan amat sensitif bukan saja untuk rakyat negara ini bahkan di mata dunia.

“Masyarakat Malaysia adalah wira kepada adik Bella kerana dia tiada suara seperti kita, dia tiada akal dan kewarasan untuk perjuangkan hak kemanusiaannya sendiri,” ungkapnya.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata pihaknya menerima memorandum yang diserahkan dan akan dipersembahkan kepada TMJ serta Che Puan Besar Khaleeda.

“Kami dari pihak pasukan peguam pemerhati ucapkan terima kasih kepada masyarakat awam yang berminat untuk mengikuti perkembangan kes ini.

“Kami berharap prinsip keadilan dapat ditunjukkan akhirnya,” katanya.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita