Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penggiat industri kreatif di M'sia kembali berkarya hari ini

Pembukaan semula lapan kegiatan industri kreatif mulai hari ini (9 Sep) bagi fasa peralihan dari pandemik ke endemik adalah satu keperluan yang akan memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat sektor industri itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penggiat industri kreatif di M'sia kembali berkarya hari ini

Gambar fail.

Diterbitkan : 09 Sep 2021 10:57AM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 10:59AM

KUALA LUMPUR: Pembukaan semula lapan kegiatan industri kreatif mulai hari ini (9 Sep) bagi fasa peralihan dari pandemik ke endemik adalah satu keperluan yang akan memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat sektor industri itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata ia berikutan sektor kreatif adalah antara yang amat terkesan apabila tidak dapat berfungsi langsung semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Ini selain rakyat juga memerlukan hiburan sihat supaya tidak terus berada dalam kemurungan.

“Ini adalah antara sektor ekonomi yang terawal ditutup, namun antara yang terakhir dibuka semula. Namun, dengan pengumuman ini, diharap sektor hiburan ini dapat bernafas semula dan semua pihak berkepentingan (dalam) sektor ini dapat menjana semula ekonomi sektor kreatif dalam norma baru.

“Meskipun ada perbatasan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, ia tidak perlu menjadi kekangan untuk sektor ini berkembang dengan lebih maju dengan cara yang lebih kreatif,” kata Encik Annuar dalam kenyataan pada Rabu (8 Sep).

Beliau berkata sepanjang pandemik, pekerja sektor kreatif yang kebanyakannya bekerja secara kontrak atau bebas didapati amat terkesan kerana sifat pekerjaan mereka bukanlah makan gaji. Oleh itu, ramai penggiat industri tersebut menjadi asnaf dan terpaksa membuat apa sahaja pekerjaan demi sesuap nasi.

Pada Selasa, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran SOP Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, Encik Annuar berkata kelonggaran itu merupakan cerminan sebenar keprihatinan kerajaan melalui PPN dalam memastikan kelangsungan dan kelestarian rakyat sejajar dengan norma baru, terutama di Lembah Klang yang sudah mencapai lebih 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin.

Beliau menambah pencapaian itu membolehkan sektor industri kreatif dibuka dan seterusnya, memberi peluang kepada penggiat industri untuk kembali aktif berkarya. Namun, beliau berharap kelonggaran itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan dan kelangsungan sektor industri kreatif menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif penting antaranya ialah Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bertujuan untuk memberi suntikan dan nilai tambah susulan pembukaan semula operasi sektor pada Fasa Satu PPN ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penggiat industri kreatif untuk terus mematuhi semua garis panduan dan SOP yang digariskan oleh MKN. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan