Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pengacara TV Amerika, Jerry Springer meninggal dunia

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Personaliti televisyen terkenal antarabangsa, Jerry Springer meninggal dunia pada usia 79 tahun di kediamannya di Chicago, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis (27 Apr).

Mendiang sangat terkenal menerusi program TV, The Jerry Springer Show iaitu sebuah rancangan bual bicara yang sangat ‘kasar’ sehinggakan aksi pergaduhan, ‘kerusi melayang’ dan golongan terpinggir di AS turut dibawa ke set untuk tontonan masyarakat global.

Berita kematian Springer disahkan oleh ejen publisiti mendiang kepada Reuters. Sebab kematian tidak didedahkan.

Jene Galvin, seorang rakan dan jurucakap keluarga mendiang menyifatkan, pemergian Springer "tiada pengganti."

"Keupayaan Jerry berhubung dengan orang ramai adalah asas kejayaannya dalam segala bidang yang disertainya sama ada dalam politik, penyiaran atau hanya bermesra dengan orang ramai di jalanan.

"Pemergiannya tidak dapat diganti tetapi kenangan berhubung kebijaksanaan, jiwa besarnya dan sifat humor beliau akan terus hidup," kata Galvin.

Program bual bicara yang dikendali Springer menjadi simbol penerbitan rancangan televisyen ‘bukan intelek’ selama hampir 5,000 episod dengan pelbagai konfrontasi, penggunaan kata-kata kesat serta pendedahan kecurangan.

Seorang lagi personaliti TV, Ricki Lake turut berkongsi kesedihan dengan pemergian Springer di akaun media sosialnya.

"Baru terjaga dan mendengar berita sangat sedih mengenai pemergian pesaing dan rakan lama saya, Jerry Springer.

Seorang lelaki yang baik hati. Semoga dia berehat dengan tenang," tulis Lake dalam hantaran berkenaan.

Rakan seperjuangan mendiang, Piers Morgan pula menggambarkan Springer sebagai "ikon TV dan seorang lelaki yang bijak, mesra dan lucu".

"Saya suka bekerja dengannya di America's Got Talent, suka berkumpul dengannya (kami tinggal di hotel yang sama selama dua tahun), suka berdebat dengannya (beliau menggemari politik), suka segalanya tentang beliau," tambah Morgan.
Sumber : Reuters//Agensi Berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan