Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Penerbitan 'single' baharu tampilkan mendiang bekas anggota One Direction Liam Payne ditangguh

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbitan 'single' baharu tampilkan mendiang bekas anggota One Direction Liam Payne ditangguh

Liam Payne di London pada 2019. (Gambar: AFP/TOLGA AKMEN)

BUENOS AIRES: Penerbitan lagu single baharu, yang menampilkan Liam Payne, bekas penyanyi kumpulan One Direction, yang maut awal bulan ini selepas terjatuh dari bilik hotel Buenos Aires, ditangguhkan.

Demikian didedahkan seorang rakan kerjasama pada Selasa (29 Okt).
Penyanyi dan penulis lirik dari Amerika, Sam Pounds sebelum ini berkata, menerusi catatan di media sosial, bahawa lagu tersebut, yang berjudul "Do No Wrong", akan diterbitkan pada Jumaat sebagai "rahmat kepada dunia".

Namun pada Selasa, beliau mendedahkan bahawa penerbitan lagu tersebut akan ditangguhkan.

"Sungguhpun kami semua menyukai lagu itu, belum tiba masanya (untuk menerbitkannya)," tulisnya dalam catatan di wadah X.

"Kami semua masih berkabung atas pemergian Liam dan saya mahu keluarga berkabung dengan aman. Kita semua akan menunggu."

Payne ditemui mati pada 16 Oktober selepas terjatuh dari balkoni biliknya di tingkat tiga Hotel Casa Sur di ibu kota Argentina itu.

Ucapan takziah datang mencurah-curah daripada anggota keluarga, bekas rakan kumpulannya mahupun peminatnya serta yang lain menyusuli kematian Payne pada usia 31 tahun.

Kakitangan hotel tersebut telah menghubungi perkhidmatan kecemasan dua kali untuk melaporkan mengenai seorang tetamu "berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol" yang "memusnahkan" sebuah bilik hotel.

Payne pernah berkongsi secara terbuka bagaimana beliau bergelut mengatasi kecenderungannya menyalahgunakan bahan serta dalam meniti perjalanannya sebagai seseorang yang dikenali sejak usia yang muda.
Sumber : AFP/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan