Skip to main content

Hiburan

Penerbit 'Pulau' gesa tonton filem dahulu sebelum kritik

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbit 'Pulau' gesa tonton filem dahulu sebelum kritik

(Gambar: Instagram/@pulaumovie)

KUALA LUMPUR: Penerbit filem 'Pulau', Fred Chong menyangkal dakwaan 'menjual' adegan panas dalam naskhah itu demi menarik penonton.

Encik Chong berkata, pihaknya tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Justeru, Encik Chong menggesa orang ramai menonton filem itu terlebih dahulu sebaik ditayangkan, sebelum melontarkan kritikan.

"Hasrat kami hanyalah mempromosikan keindahan pulau di Malaysia dan tidak berniat 'menjual' adegan panas seperti dakwaan ramai."

"Kami ada perancangan membawa Pulau ke pasaran luar. Ini dapat membantu mempromosikan tempat menarik di Malaysia."

"Jadi, mungkin kerana itu, filem ini mendapat kelulusan LPF," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Encik Chong berkata, ada babak dalam filem itu disunting kerana tidak sesuai dengan penonton tempatan.

"Memang ada beberapa babak dipotong di mana kerja itu dilakukan, tahun lalu."

"Saya tidak sangat filem ini menimbulkan polemik. Bagi saya, penampilan pelakon wanita dalam filem itu adalah sesuai dengan lokasinya iaitu di pulau," katanya.

Menurut agensi berita BH Online, Encik Chong berkata, adalah normal untuk untuk pengunjung pantai atau pulau berbikini.

"Jadi, saya tampilkan pelakon berbilang bangsa mengikut kesesuaian watak dan babak."

"Mereka yang ingin tahu sama ada filem ini melampau atau tidak kenalah tonton terlebih dahulu."

"Jika tidak, tentu LPF tidak luluskan filem ini untuk tayangan," katanya.

Diminta mengulas gesaan sesetengah pihak seperti pendakwah dan warga net yang meminta 'Pulau' disekat daripada memasuki pawagam, Fred berkata keputusan tertakluk di tangan Lembaga Penapis Filem (LPF).

"Saya yakin LPF ada pegawai berkaliber. Keputusan untuk menayangkan Pulau bukan terletak di tangan saya.

"Sebagai pembikin filem, saya cuba patuhi syarat dan undang-undang penerbitan filem di Malaysia."

"Jadi tentu ada alasan kenapa LPF meluluskan filem ini untuk tayangan," katanya, dipetik daripada BH Online.

Sebagai penerbit filem, tambah Encik Chong, dia sentiasa memperjuangkan kisah rakyat Malaysia yang pelbagai bagi mencerminkan budaya sebenar negara ini .

Filem pertama terbitan Chong, 'Nasi Lemak 2.0' yang diterbitkan pada 2011, memaparkan unsur kepelbagaian budaya dari sudut hidangan paling popular di negara ini iaitu nasi lemak.

Sebuah lagi filem dihasilkan Chong, 'Juang' mengambil ilham daripada episod pandemik COVID-19 yang melanda negara.

'Juang' mengisahkan barisan hadapan berbilang kaum yang bersatu untuk membantu rakyat menghadapi detik sukar dalam sejarah negara.

'Pulau' mengangkat kepelbagaian budaya dengan sasaran generasi baharu selain mempromosikan pulau indah dengan pemandangan eksotik seperti dipaparkan dalam trailer.

Sebelum ini, sebaik trailer filem Pulau yang mengisahkan kembara sekumpulan anak muda ke sebuah pulau berhantu dimuat naik di YouTube, lima hari lalu, laman sembang kecoh dengan kritikan netizen yang mempersoalkan bagaimana naskhah arahan Euho itu lulus tayangan pawagam.

Rata-rata netizen terkejut dengan paparan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini dan adegan intim ala Hollywood, malah, ada yang mengklasifikasikan naskhah terbabit sebagai 'soft porn' yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan nilai moral bagi filem tempatan.

Kontroversi dicetuskan filem Pulau turut mendapat perhatian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menggesa Lembaga Penapis Filem (LPF) mengkaji semula kelulusan tayangan filem terbabit.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita