Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pendakwah selebriti M'sia PU Azman didakwa lagi; hadapi 4 tuduhan jenayah seksual

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwah selebriti M'sia PU Azman didakwa lagi; hadapi 4 tuduhan jenayah seksual

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Dec 2022 02:09PM Dikemas Kini : 07 Dec 2022 03:17PM

KLANG: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman, dihadapkan ke dua mahkamah di Klang pada Rabu (7 Dis) atas empat pertuduhan jenayah seksual membabitkan tiga remaja lelaki antara Februari hingga Ogos lalu. 

PU Azman, 41 tahun, didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di Klang, masing-masing pada pukul 12.15 tengah malam dan 1.00 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun lalu. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan menggalakkan seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dengan berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp sekitar 4.00 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru pada 16 Ogos lalu. 

Beliau dituduh mengikut Seksyen 11 (1)(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan PU Azman diikat jamin sebanyak RM20,000 (S$6,162) bagi kesemua pertuduhan itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, PU Azman didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek di Klang pada pukul 9.15 malam, 10 Jun lalu.

PU Azman dituduh mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 (S$1,232). 

Pendakwaan bagi kesemua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah.

Kedua-dua mahkamah juga mengenakan syarat jaminan tambahan kepada tertuduh iaitu tidak boleh mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran rumahnya setiap awal bulan bermula bulan ini. 

Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Januari tahun depan. 

PU Azman sebelum ini mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual ke atas dua remaja lelaki bawah umur di Mahkamah Sesyen di Seremban pada 12 Oktober lalu. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan