Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pendakwah selebriti M'sia didakwa lakukan serangan seksual terhadap dua remaja lelaki

Anggaran Waktu Membaca:
SEREMBAN: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu (12 Okt) atas lima tuduhan melakukan serangan seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut tiga tuduhan, tertuduh telah melakukan serangan seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 antara pukul 3.00 hingga 5.00 pagi, lapor Harian Metro.

Tertuduh turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 16 tahun pada 6 Julai 2022, antara pukul 3.00 hingga 5.00 pagi di ruang tamu rumah sama dan pada 5 Februari 2022, kira-kira antara pukul 8.30 malam hingga 12.00 tengah malam.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 (S$4,615) bagi setiap tuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Peguam Mohamad Zahid Ahmad bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya selain memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama baik.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 (S$12,307) bagi kesemua tuduhan dan dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen adalah 8 Disember.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan