Pendakwa sifatkan R Kelly sebagai 'pemangsa' seks dalam sesi perbicaraan mahkamah
R Kelly adalah "pemangsa" yang menuntut ketaatan mutlak daripada ramai wanita dan gadis bawah umur yang didominasinya dalam satu komplot kegiatan haram selama dua dekad, tegas pendakwa persekutuan pada Rabu (18 Ogos).
Lukisan mahkamah R Kelly hadiri perbicaraan pada 18 Ogos 2021 (Gambar: REUTERS/Jane Rosenberg)
NEW YORK: R Kelly adalah "pemangsa" yang menuntut ketaatan mutlak daripada ramai wanita dan gadis bawah umur yang didominasinya dalam satu komplot kegiatan haram selama dua dekad.
Demikian kata seorang pendakwa persekutuan pada Rabu (18 Ogos) semasa perbicaraan ke atas penderaan seks yang dilakukan oleh bintang R&B itu dimulakan.
Pasukan peguam bela Kelly membantah hujah yang di pemerintah yang disifatkan sebagai "terdapat kelemahan", dan bahawa pihak-pihak yang menuduh penyanyi berusia 54 tahun itu sebenarnya adalah bekas peminat yang tidak senang hati dan ingin membalas dendam kerana hubungan mereka tidak berpanjangan.
Dalam kenyataan pembukaannya, Penolong Peguam Amerika Syarikat Maria Cruz Melendez memberitahu juri yang dianggotai tujuh lelaki dan lima wanita di Brooklyn bahawa Kelly menggunakan "pembohongan, manipulasi, ancaman dan penderaan fizikal" untuk mengawal mangsanya dan sering merakam perbuatan seks mereka.
Dakwaan-dakwaan tersebut memberi gambaran tentang hubungan yang didakwa berlaku antara Kelly dengan enam wanita dan budak perempuan, yang empat daripada mereka bawah umur pada masa itu. Mereka termasuk seorang penyanyi, iaitu mendiang Aaliyah, yang berusia 15 tahun ketika berkahwin dengan Kelly.
"Kes ini adalah tentang seorang pemangsa," tegas Encik Melendez. "Kes ini bukan (sekadar) tentang selebriti yang suka berpesta."
Peguam Kelly, Nicole Blank Becker menolak dakwaan pendakwa raya, sambil berkata hubungan pihak-pihak yang membuat tuduhan dengan Kelly, yang nama penuhnya Robert Sylvester Kelly, adalah atas dasar sama-sama saling bersetuju.
"Mereka tahu apa yang mereka akan lakukan," kata Becker.
Kelly, pemenang anugerah Grammy sebanyak tiga kali yang lagu-lagunya termasuk I Believe I Can Fly dan Bump N' Grind, mengaku tidak bersalah atas sembilan tuduhan yang termasuk tuduhan sogokan serta peras ugut. Dia menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan.
Pihak pendakwa berkata Kelly menggunakan sekumpulan pengurus, pengawal keselamatan dan lain-lain untuk merekrut mangsa dan mengugut mereka jika mereka cuba lari.
CURIGA SELAMA BERTAHUN-TAHUN
Perbicaraan ditangguhkan beberapa kali disebabkan oleh pandemik koronavirus dan dijangka berjalan sekitar sebulan.
Ini adalah kemuncak rasa curiga dan tuduhan-tuduhan bertahun-tahun lamanya terhadap Kelly, yang sebahagian besarnya dikupas dalam dokumentari Lifetime pada 2019 bertajuk Surviving R Kelly erta hampir empat tahun setelah bermulanya era #MeToo.
Kelly sudah dipenjara lebih dua tahun dan boleh meringkuk selama beberapa dekad lagi jika sabit kesalahan.
Sekalipun jika dia dibebaskan, dia masih berdepan tuduhan berkaitan seks di Illinois dan Minnesota, di mana dia juga mengaku tidak bersalah.
Kelly dibebaskan daripada tuduhan pornografi kanak-kanak semasa perbicaraan pada 2008 di Illinois.
Dia kali terakhir mengeluarkan album studio pada 2016. Kerjaya Kelly terhenti ekoran dokumentari Lifetime dan tuduhan terbaru itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.