Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Peminat teruja saksikan konsert antarabangsa pertama BCL di Resorts World Sentosa

Anggaran Waktu Membaca:
Peminat teruja saksikan konsert antarabangsa pertama BCL di Resorts World Sentosa

(Gambar: Resorts World Sentosa)

BERITAmediacorp: Hari yang dinanti-nantikan para peminat Bunga Citra Lestari, atau dikenali sebagai BCL, akhirnya tiba.

Ramai yang sanggup melakukan penerbangan dari Malaysia dan Indonesia untuk menyaksikan bintang kesayangan mereka itu beraksi atas pentas di Singapura.

'Blossom Intimate Concert' BCL merupakan konsert antarabangsanya yang pertama sejak beliau mula bergiat dalam industri seni pada 2006. 

Sejam sebelum pintu dibuka, sekitar pukul 7.00 malam, ramai sudah mula beratur di luar Ballroom Resorts World Singapore untuk mengambil gambar dengan poster konsert secara bergilir-gilir. 

Peminat juga berpeluang untuk membeli barangan rasmi konsert tersebut. 

"Saya tidak sabar untuk menonton persembahan BCL. Sebelum ini, saya pernah ke Jakarta semata-mata untuk menyaksikannya tetapi kali ini, tidak sangka beliau adakan konsert di sini," kata Siti, salah seorang peminat 'diehard' BCL, kepada BERITAmediacorp, yang hadir bersama kawan-kawannya. 

Siti (paling kanan) dan kawan-kawannya

Dari jauh kelihatan tiga rakan sekerja yang berpakaian sedondon, lengkap dengan skirt batik. Keghairahan mereka dapat dirasakan!

(Dari kiri) Amanda, Aisyah dan Azreen 

"Kami dapat tahu mengenai konsert ini melalui Instagram kerana kami pengikutnya di platform itu," ujar Aisyah. 

"Kami selalu mendengar muziknya dan mengagumi perjalanannya sejauh ini," kata Amanda kepada BERITAmediacorp. 

Suasana di dalam Ballroom itu disemarakkan lagi dengan 'lightstick' yang diberikan kepada setiap penonton dan dilambai-lambaikan sepanjang konsert itu. 

"Saya rasa amat terharu melihat peminat saya di sini, yang meluangkan masa untuk bersama saya malam ini, yang terbang ke sini dari Malaysia, Indonesia dan tempat-tempat lain untuk berada di sini. 

"Sepanjang dua tahun yang lalu, kami dilanda pandemik yang mencabar bagi semua. 

"Bagi saya, saya seolah-olah dihentam kehidupan dan adalah detik-detik yang terendah dalam hidup saya apabila saya kehilangan suami saya secara mendadak," kata penyanyi Indonesia itu, yang menyanyikan lagu 12 Tahun Terindah sebagai hadiah kepada Almarhum. 

"Saya berharap menerusi lagu-lagu saya, saya dapat lebih dekat dengan para peminat dan berkongsi perjalanan saya - dari jatuh cinta, dianugerahkan anak tersayang, kehilangan orang yang saya amat cintai dan menjadi wanita yang saya adalah hari ini," tambahnya lagi. 

(Gambar: Resorts World Sentosa)

Kekuatan dan bakat BCL amat menyerlah menerusi lagu-lagu balada dan juga rancak yang beliau dendangkan pada malam itu. 

"Pada 2021, saya melakukan sesuatu yang baru - iaitu cuba menjadi seorang penerbit. Saya amat berbesar hati untuk menjadi mentor kepada seorang bakat muda yang berusia 24 tahun dan untuk membuat persembahan dengannya malam ini," kata BCL, sambil menjemput pemenang X Factor, Alvin Jonathan.

Selain itu, beliau turut berduet bersama Ariel Noah, yang dinanti-nantikan peminat kedua-dua penyanyi terkenal itu. 

"Terima kasih kepada semua peminat yang hadir Blossom Intimate Concert saya, dan juga kepada Resorts World Sentosa untuk peluang ini. Saya berharap dapat berjumpa lagi dengan peminat pada suatu hari nanti."

(Gambar: Resorts World Sentosa)

Konsert BCL itu akan berlangsung sekali lagi malam ini (20 Ogos).

Tiket-tiket juga masih boleh dibeli menerusi pautan ini, dan bermula dari harga S$68. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan