Skip to main content

Hiburan

Peminat Star Wars berpusu-pusu kunjungi muzium baharu George Lucas di Los Angeles

Peminat tegar Star Wars dan pencinta seni berpusu-pusu mengunjungi 'Lucas Museum of Narrative Art' sempena pembukaan rasminya pada Selasa (22 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Peminat Star Wars berpusu-pusu kunjungi muzium baharu George Lucas di Los Angeles

Lucas Museum of Narrative Art di Los Angeles. (Gambar: Mario Tama/Getty Images North America/Getty Images menerusi AFP)

Diterbitkan : 23 Sep 2026 04:58PM
  • Lucas Museum of Narrative Art dibuka rasmi di Los Angeles pada Selasa, 22 September, diasaskan oleh George Lucas dan Mellody Hobson.
  • Lucas dan Hobson menyambut 100 pengunjung pertama, termasuk peminat Star Wars seperti Eric Cheung yang hadir berkostum juruterbang X-wing.
  • Muzium di bekas tapak parkir berhampiran Universiti Southern California itu mempunyai lebih 30 galeri dan ruang pameran melebihi 9,300 meter persegi.
  • Selain bahan Star Wars, muzium mempamerkan karya pelbagai artis dan dilihat penduduk sebagai tarikan positif baharu untuk South Los Angeles.
Dijana oleh AI
LOS ANGELES: Peminat tegar Star Wars dan pencinta seni berpusu-pusu mengunjungi 'Lucas Museum of Narrative Art' sempena pembukaan rasminya pada Selasa (22 Sep).

Muzium yang dinanti-nantikan itu diasaskan pencipta francais Star Wars, George Lucas, 82 tahun, bersama isteri yang juga rakan perniagaannya, Mellody Hobson.

Bangunan muzium itu sendiri menyerupai sebuah kapal angkasa.

Lucas dan Hobson menyambut 100 pengunjung pertama di pintu masuk muzium dan berjabat tangan dengan setiap seorang daripada mereka.

Antara pengunjung muzium itu ialah Eric Cheung, yang hadir dengan mengenakan kostum juruterbang X-wing Star Wars, lengkap dengan pakaian berwarna jingga dan topi keledar seperti yang dipakai Luke Skywalker.

"Setiap karya seni menceritakan sebuah kisah," katanya kepada AFP.

"Semua orang boleh melihat perkara yang sama, kemudian kita boleh menghasilkan kisah yang berbeza."
Related article image
Watak-watak Star Wars bersaiz sebenar dipamerkan di 'Lucas Museum of Narrative Art'. (Gambar: Reuters/Mike Blake)
LEBIH 30 GALERI, RUANG PAMERAN SELUAS 9,300 METER PERSEGI

Muzium itu dibina di bekas tapak tempat letak kereta bersebelahan Universiti Southern California, tempat Lucas pernah menuntut.

Dengan ruang pameran seluas lebih 9,300 meter persegi, muzium itu menempatkan lebih 30 galeri.

Pengunjung disambut dengan pesawat pejuang Naboo N-1 berwarna kuning daripada filem 'Star Wars: Episode I – The Phantom Menace' sebaik sahaja mereka memasuki muzium.

Namun, koleksi yang dipamerkan tidak hanya tertumpu kepada Star Wars.

Ia turut menampilkan karya artis terkenal termasuk Banksy, Frida Kahlo, Jacob Lawrence, Charles White dan Robert Colescott.

Koleksi muzium itu juga merangkumi komik oleh Winsor McCay, Jack Kirby dan Frank Frazetta serta ilustrasi oleh Norman Rockwell, Jessie Willcox Smith dan N.C. Wyeth.
Related article image
Seorang pengunjung mengambil gambar 'podracer' Anakin Skywalker daripada 'Star Wars: The Phantom Menace' di 'Lucas Museum of Narrative Art'. (Gambar: AFP/Valerie Macon)
TARIKAN BAHARU SOUTH LOS ANGELES

Bagi Brenda Chambliss, yang sudah lebih sedekad menetap di South Los Angeles, pembukaan muzium itu amat bermakna kepada kawasan tersebut.

Menurutnya, kawasan berkenaan sering dikaitkan dengan tanggapan negatif mengenai jenayah atau kemiskinan.

Beliau juga menyifatkan muzium yang dipenuhi pelbagai karya seni itu sebagai tarikan baharu yang positif bagi kawasan tersebut.

Taman di sekitar muzium itu turut dibuka kepada orang ramai tanpa memerlukan tiket.

Seorang lagi pengunjung, Sandi Granados, pula menghargai usaha Lucas menggunakan kedudukannya untuk menghimpunkan pelbagai artis.

"Saya sangat suka Lucas menggunakan platformnya untuk menyatukan artis lain," katanya kepada AFP.

"Bukan hanya untuk dirinya sendiri," tambahnya.

Menurut beliau, usaha itu membantu menghimpunkan artis tempatan dan nama-nama besar dalam satu ruang.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita