Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pemenang 4 kategori AIM23 bakal terima dana dari kementerian

Anggaran Waktu Membaca:
Pemenang 4 kategori AIM23 bakal terima dana dari kementerian

(Gambar: @kingdaniel189/Instagram)

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, empat pemenang kategori terbaik Anugerah Industri Muzik edisi ke-23 (AIM23) bakal menerima Dana Kandungan Digital atau DKD Industri Muzik, lapor Malaysiakini.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata inisiatif itu diberikan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) untuk pemenang Artis Baru Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik sebagai satu bentuk galakan dan insentif kepada penggiat industri muzik.

“Kami baru saja menerima berita gembira ini daripada K-KOMM dan RIM selaku penganjur AIM."

“Kami amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh kerajaan terhadap penggiat industri muzik tempatan."

“Selaras dengan matlamat AIM untuk meningkatkan kualiti kandungan kreatif, inisiatif melalui DKD kepada empat pemenang kategori utama AIM ini akan menjadi pemangkin kepada penggiat industri muzik untuk menghasilkan karya kandungan kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa,” kata Encik Rosmin dalam satu kenyataan, menurut laporan Malaysiakini.

Pemenang kategori anugerah terpilih akan menerima DKD sebanyak RM50,000 (S$15,540) setiap seorang untuk kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Terbaik. Manakala, pemenang kategori Video Muzik Terbaik akan menerima RM20,000 (S$6,216) dan pemenang kategori Album Terbaik pula bakal menerima dana sebanyak RM200,000 (S$62,160).

Menurut Encik Rosmin, DKD yang diperuntukkan untuk pemenang AIM23 akan diberikan melalui syarikat rakaman kepada pemenang masing-masing agar pelaburan DKD tersebut mencapai impak maksima dan produktif serta melibatkan pelbagai rantaian peluang pekerjaan dalam ekosistem industri muzik tempatan.

Tambah Encik Rosmin lagi, DKD merupakan antara inisiatif penting kerajaan dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif untuk menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa.

“DKD yang diperuntukkan untuk pemenang kategori anugerah Artis Baru Terbaik misalnya boleh digunakan untuk menghasilkan single yang lebih berkualiti untuk penerima sekaligus meningkatkan pembangunan kerjaya artis tersebut."

“Pemberian DKD kepada pemenang anugerah Lagu Terbaik membolehkan penerima menghasilkan single dan video muzik baru dengan kualiti pengeluaran yang lebih tinggi."

“Selain itu, pemberian DKD turut diberikan kepada pemenang kategori anugerah Video Muzik Terbaik dan Album Terbaik untuk mengalakkan penghasilan lebih banyak album yang berkualiti tinggi dan berpotensi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” jelas Encik Rosmin, dipetik daripada laporan Malaysiakini.

AIM23 dijadual akan berlangsung pada 11 Sep nanti di Dewan MBSA Shah Alam dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan