Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pembedahan Zamani berjalan lancar; tubuh tidak lagi melengkung

Anggaran Waktu Membaca:
Pembedahan Zamani berjalan lancar; tubuh tidak lagi melengkung

(Gambar: Tangkapan skrin video @aznilnawawihm/Instagram)

Diterbitkan : 10 Nov 2022 07:55PM Dikemas Kini : 10 Nov 2022 07:57PM

KUALA LUMPUR: Penderitaan Zamani bertubuh ‘melengkung’ sudah berakhir apabila pembedahan membetulkan tulang belakangnya akibat penyakit skoliosis itu berjaya dijalankan.

Bukan hanya tubuh vokalis utama kumpulan Slam itu sudah kembali seperti biasa, Zamani juga bahkan sudah boleh berjalan dengan selesa serta sudah dibenarkan keluar hospital.

Khabar gembira itu dikongsi oleh isterinya, Nur Juliana Abd Rani, di akaun media sosialnya pada Khamis (10 Nov).

Dalam catatan yang ditukil Astro AWANI itu, Cik Nur Juliana juga merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan perubatan sebuah hospital swasta yang melakukan pembedahan ke atas suaminya.

Beliau berkata sepanjang Zamani menerima rawatan, suaminya menerima layanan yang sangat baik.

“Jutaan terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang beliau menjalani pembedahan sehingga ke hari ini,” tulis Nur Juliana lagi.

Dalam masa sama, Cik Nur Juliana mengucapkan terima kasih kepada pengacara tersohor Malaysia, Aznil Nawawi, atau mesra disapa Pak Nil, yang sebelum ini merintis inisiatif untuk mengumpul dana bagi membantu membiayai pembedahan Zamani.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Pak Nil, semua peminat, pihak media dan para penyumbang dana untuk Zamani. Segala budi baik dan doa anda semua amat kami hargai hingga ke akhir hayat,” Astro AWANI menukil kata-kata Cik Nur Juliana.

Pada Isnin (7 Nov), Zamani yang berusia 51 tahun menjalani pembedahan untuk membetulkan tulang belakang, yang melengkung akibat penyakit skoliosis, di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras.

Prosedur tersebut mengambil masa hampir tujuh jam dan penyanyi itu perlu ditidurkan sebelum pembedahan dilakukan, lapor Astro AWANI.

Zamani juga dinasihatkan oleh doctor agar berehat sehingga tiga bulan sebelum kembali bekerja.

"Mengikut penerangan doktor, saya boleh pulih dalam tempoh dua hingga enam minggu bergantung kepada daya ketahanan tubuh.

"Sepanjang tempoh ini, saya perlu mendapatkan rawatan susulan dan menjalani latihan fisioterapi.

"Bagaimanapun, saya akan pulih hingga boleh kembali aktif mungkin memakan masa sehingga tiga bulan. Itupun bergantung kepada kekuatan antibodi," kata Zamani seperti dilaporkan media.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan