Pemain dram veteran Malaysia meninggal dunia selepas rebah atas pentas di Pahang
Raja Azreen Raja Talib ahli kugiran Meditasi meninggal dunia semasa bermain di Festival Teruntum Rock di Kuantan, Pahang , 18 Jul 2026. (Gambar: Facebook/Azreen Meditasi)
Pemuzik berusia 56 tahun itu rebah di atas pentas ketika bermain bersama kumpulan lamanya, Meditasi, di Festival Rok Teruntum di Kuantan, Pahang pada 18 Julai.
Kumpulan tersebut baru sahaja memainkan dua buah lagu sebelum Azreen tiba-tiba rebah, sekali gus mencetuskan suasana cemas dalam kalangan penonton dan kru
Vokalis kumpulan itu, Bakaruddin "Burn" Daud, memberitahu BH Online Malaysia bahawa beliau serta-merta menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
Beliau berkata: "Saya bergegas ke arah (Azreen), tetapi saya dapat merasakan bahawa (beliau) sudah tiada.
"Saya memanggil dan memegang (beliau), tetapi tiada sebarang tindak balas. Badannya juga sudah sejuk. Peminat agak cemas apabila melihat apa yang berlaku."
Ahli kumpulan dan kru membawa pemain dram itu ke belakang pentas sementara menunggu ketibaan khidmat kecemasan.
Burn menceritakan semula: "Kami membawanya ke belakang pentas dan dalam masa beberapa minit, ambulans pun sampai. Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan."
Azreen dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di mana beliau "diberikan bantuan pernafasan, namun beliau tidak sedarkan diri atau memberikan sebarang tindak balas selepas rebah".
Abang kandungnya, Raja Azman Raja Taib, mendedahkan bahawa almarhum adiknya pernah mengalami komplikasi jantung dalam tempoh beberapa bulan sebelum kematiannya yang tragis itu.
Beliau memberitahu media: "Beliau pernah dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali; kali pertama selama dua hingga tiga minggu sebelum dimasukkan semula."
Meskipun begitu, anggota keluarga dan kumpulannya tetap terkejut dengan pemergian mengejut itu kerana beliau kelihatan sihat menjelang festival berkenaan.
Satu-satunya perkara yang disedarinya ialah almarhum kelihatan "sangat kurus".
Menurut abangnya lagi, Azreen baru-baru ini disahkan menghidap penyakit kencing manis dan sedang mengawal pemakanannya dengan teliti.
Meditasi - yang ditubuhkan pada 1986 - sudah menjalani latihan selama tiga hari sebelum festival berkenaan.
Pemain dram itu malah meminta ahli kumpulan memakai pakaian serba hitam untuk persembahan tersebut dan mengingatkan mereka bahawa persembahan mesti diteruskan "apa jua yang berlaku".
Pemain gitar kumpulan itu, Rosli Ahmad, juga dilaporkan kurang sihat sebelum ini.
Burn berkata kumpulan itu akan menghormati legasi peninggalan Azreen dengan terus bergiat bersama dalam arena muzik.
Beliau menambah: "Kami belum berbincang (mengenai masa depan), tetapi kami akan meneruskan perjuangan kumpulan ini kerana seperti yang dikatakan oleh (beliau) persembahan mesti diteruskan (the show must go on).
"Kami bukan lagi mengejar wang, kami cuma mahu mencari kawan dan mengisi masa lapang kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.