Pelawak veteran Alias Kadir meninggal dunia
Pelawak veteran tempatan Alias Kadir, 58 tahun, meninggal dunia pagi tadi (28 Jun).
BERITAmediacorp: Pelawak veteran tempatan Alias Kadir, 58 tahun, meninggal dunia pagi tadi (28 Jun).
Khabar duka itu disahkan anak Allahyarham, Encik Juma'at Azhar, yang memberitahu BERITAmediacorp bahawa bapanya meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 7.53 pagi.
Baru-baru ini, BERITAmediacorp melaporkan bahawa Allahyarham Alias Kadir yang nama sebenarnya ialah Mohd Osman Ahmad menjalani rawatan di hospital itu sejak lebih sebulan lalu setelah kaki kanannya terpaksa dikudungkan akibat kencing manis.
Kaki kirinya sebelum ini terpaksa dikudungkan pada Ogos 2017, juga akibat kencing manis.
Encik Juma'at, menerusi satu pesanan WhatsApp kepada BERITAmediacorp berkata: "Bapa saya tiada diagnosis, namun punca kematian akibat pendarahan..."
Beliau turut memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham bapanya akan dikebumikan selepas Zuhur di Pusara Aman.
GUGURNYA SEBUTIR PERMATA INDUSTRI SENI S'PURA
Nama Alias Kadir memang tidak asing lagi dalam dunia hiburan tempatan.
Allahyarham sudah lebih 30 tahun menghiburkan orang ramai dengan keletah lucu serta gaya selambanya yang mencuit hati.
Arwah Alias mula berkecimpung dalam bidang seni melalui pelibatannya dengan kumpulan Teater Cekup, yang pernah memenangi pertandingan Pesta Drama Komedi Sriwana pada 1986.
Kemunculan terakhir Allahyarham adalah sebagai "Rahmat" dalam musim keempat Bubur Masjid Air Katira yang ditayangkan Ramadan lalu.
Teman seperjuangannya, pelawak tempatan Husin Saaban memberitahu BERITAmediacorp bahawa kali terakhir beliau menziarahi arwah Alias di hospital pada awal minggu lalu.
Hubungan arwah dengan pelawak-pelawak tempatan yang lain sudah "macam adik-beradik", dan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat mreka semua, dan juga seni tanah air, kata Encik Husin.
"Antara kata-kata terakhirnya: 'Kau doakan untuk aku'," kongsi Encik Husin dengan nada penuh sebak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.