Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelawak legenda Jamali Shadat kurang sihat: Keluarga minta peminat doakan kesihatannya

Jamali Shadat adalah pelawak bertaraf legenda. Ramai anak muda zaman sekarang mungkin tidak pernah mendengar nama itu. Namun beliaulah 'Raja' meniru suara dari dunia Melayu kerana kebolehannya membuat pelbagai dan puluhan suara berbeza-beza.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelawak legenda Jamali Shadat kurang sihat: Keluarga minta peminat doakan kesihatannya

Jamali Shadat. (Gambar-gambar: Fauzi Bin Jamalai)

BERITAmediacorp: Jamali Shadat adalah pelawak bertaraf legenda. Ramai anak muda zaman sekarang mungkin tidak pernah mendengar nama itu. Namun beliaulah 'Raja' meniru suara dari dunia Melayu kerana kebolehannya membuat pelbagai dan puluhan suara berbeza-beza.

Jamali Shadat adalah gergasi dunia hiburan yang tiada duanya di dunia Melayu ini.

Namun sejak akhir-akhir ini, pelawak veteran itu lebih banyak mendiamkan diri dan masih enggan bercakap. Itulah keadaan Jamali Shadat sekarang, lebih-lebih lagi setelah pemergian isteri tercinta pada 15 Jun 2018.

Pelawak yang bakatnya mendapat perhatian ramai setelah memenangi Adu Bakat RTM pada tahun 1971 itu agak uzur sedikit sekarang ini. Beliau kini menetap bersama salah seorang anaknya bernama Fauzi Jamalai.

Jamali Shadat atau nama sebenarnya Jamalai Bin Shadat, 78 tahun cukup dikenali dengan gelagatnya menggayakan suara kanak-kanak bernama Atan setiap kali tampil membuat persembahan di seluruh Malaysia. Bahkan bapa kepada lapan orang anak itu juga mampu melontarkan suaranya dalam pelbagai bahasa seperti Jawa, Tamil dan Cina apabila beraksi di atas pentas.

Semasa BERITAmediacorp menghubungi Fauzi bagi mendapatkan maklumat mengenai status terkini kesihatan pelawak tersebut, ini jawapan beliau:

“Agak uzur sikit mungkin disebabkan oleh kemurungan selepas kematian ibu. Dua atau tiga bulan selepas mak meninggal, dia (Jamali Shadat) tak nak bercakap. Dia makan dan tidur. Lama kelamaan makin teruk pulak,” cerita Fauzi.

Perubahan drastik itu ketara dilihat Fauzi serta adik-beradik lain kerana sebelum pemergian ibu mereka, ayah mereka seorang yang “banyak bercakap”.

Isterinya itulah kawan untuk Jamali ajak bersembang selalu. Setelah pemergian isteri tercinta, beliau seakan tiada lagi kawan untuk diajak bersembang.

Tambah Fauzi: “Kalau 10 kita tanya, satu atau dua dia jawab. Itupun dia angguk saja. Dia faham, dia kenal orang. Suara dia macam tak keluar sepenuhnya.”

TIDAK BANYAK CAKAP WALAUPUN KAWAN DATANG

Bimbang dengan keadaan bapa mereka yang berubah secara mendadak, Fauzi ada juga membawa pelawak tersebut berjumpa doktor namun tetap sama juga keadaan bapanya.

“Adik-beradik pun dah cakap (pada Jamali) tapi tak jalan. Bila tak jalan itu suruhlah doktor bercakap dengan dia. Sama juga. Dia tak nak bercakap, murung.”

Meskipun Jamali dikatakan uzur sedikit kini, dia tetap mempunyai selera untuk makan seperti biasa cuma mereka akan pastikan tahap gula dan garam terkawal setiap hari.

Terang Fauzi lagi: “Dia jenis yang boleh bergurau tapi bila mak dah tiada , dia jadi senyap. Kalau kawan-kawan dia datang pun, dia angguk-angguk. Dia senyum-senyum. Dia tak nak bercakap pulak.”

Kongsi Fauzi , doktor pernah mengatakan keadaan bapanya itu tergantung pada diri Jamali Shadat sendiri untuk kuatkan semangat diri sendiri.

“Kalau dia tak nak usaha ke arah itu, kita pun tak tau nak buat apa dah,” katanya kepada BERITAMediacorp baru-baru ini.

KINI DIBANTU UNTUK MANDI SETIAP HARI

Sudah setahun lebih beliau menggunakan lampin pakai-buang juga dalam usia senja ini. Kini, Jamali Shadat perlukan bantuan untuk dimandikan setiap hari.
Isteri Fauzi turut membantu menguruskan Jamali Shadat apabila Fauzi keluar bekerja. Selepas sarapan, Jamali duduk menonton televisyen. Setelah menunaikan solat Zohor barulah dia tidur dan akan dikejutkan untuk Asar pula. Menonton televisyen kembali untuk seketika dan solat Maghrib pula. Begitulah rutinnya setiap hari.

Untuk menghiburkan hatinya, anak-anak akan membawa beliau keluar makan dan ke majlis kenduri-kendara saudara mara. Meskipun begitu, bapanya kelihatan “lebih kurang sama juga“ kata Fauzi.

"Cuma riak wajah dia gembiralah sebab ramai orang (semasa kenduri) dan ramai bertanya khabar pada dia. Dia pun senyum.”

Mengapa tidak dibawa bapa mereka itu berjumpa dengan ahli psikologi yang dapat memberikan kepastian dan membantu Jamali Shadat?

“Tak fikir lagi. Mungkin bolehlah nak bawak ke pakar bertanya kalau ada cara-cara lain untuk orang yang ada masalah seperti ini. Saya bimbang juga,“ jawab Fauzi semasa ditanya BERITAmediacorp persoalan tersebut.

Selain dari dikunjungi kawan-kawan kerja lama Jamali, keadaan kesihatan Jamali Shadat turut mendapat perhatian beberapa pihak seperti Persatuan Seniman, Persatuan Veteran RTM, Julie Sudiro, DJ Dave, Nash, penyanyi Malik Redzuan dan pelakon Didie Alias. Mereka antara yang sempat melawat Jamali Shadat sebelum ini meskipun Jamali Shadat dikatakan “agak berat sikit untuk membuka mulut“ apabila dikunjungi tetamu.

Kira-kira tiga bulan lepas, beliau turut dikunjungi oleh wakil-wakil dari Persatuan Jawa Malaysia untuk diberikan Anugerah Anak Seni Jawa Tersohor. Menurut Fauzi, bapanya pernah juga menerima beberapa anugerah dari Berita Harian Malaysia dan pihak Astro sebelum ini.

Ujar Fauzi mewakili bapanya dalam temu bual ini: “Saya nak ucapkan terimakasih kepada semua di Malaysia, Singapura dan Brunei yang kenali dia, semasa zaman kegemilangan dia sampai sekarang, yang masih ingat dia, sayangkan dia. Harap teruslah mendoakan dia supaya kesihatan dia baik, panjangkan umur dia.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan