Skip to main content

Hiburan

Pelakon veteran, Pon Bachik, meninggal dunia pada usia 79 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon veteran, Pon Bachik, meninggal dunia pada usia 79 tahun

Allahyarhamah Pon Bachik dalam drama Mamaku Bibikku.

SINGAPURA: Pelakon veteran Ponisah Bachik, atau lebih dikenali sebagai Pon Bachik, meninggal dunia pada usia 79 tahun sekitar waktu tengah hari tadi (25 Jul).

Khabar duka ini disahkan oleh anak perempuannya, Cik Marsilah, kepada BERITA Mediacorp.

"Semalam mak okay tetapi pagi tadi, tekanan darahnya rendah dan doktor memaklumkan bahawa satu persatu organnya mula gagal berfungsi," cerita Cik Marsilah yang menambah bahawa ibunya baru dimasukkan ke hospital pada Rabu (24 Jul).

Penerima Anugerah Perdana Emas itu dibawa keluarganya berjumpa doktor semalam (24 Jul) kerana demam dan batuk-batuk tetapi beliau akhirnya digesa dibawa ke unit kecemasan hospital kerana disyaki dijangkiti radang paru-paru.

Cik Marsilah percaya keadaan ibunya diburukkan lagi oleh penyakit leukemia yang dialaminya selama ini.

Jenazah setakat ini masih di hospital dan akan dikebumikan pada Jumaat (26 Jul).

Orang ramai yang ingin menziarahi boleh ke Blok 786C Woodlands Drive 60, #08-77, Singapura 733786.
Allahyarhamah semasa menerima Anugerah Perdana Emas pada 2015. (Gambar: Mediacorp Untukmu/Facebook)
Titik permulaan Allahyarhamah dalam bidang hiburan bermula sejak 1960-an lagi.

Dua abangnya juga berkecimpung dalam dunia hiburan - Allahyarham Ibrahim Bachik ialah seorang komposer veteran manakala Allahyarham Salim Bachik, ialah pelakon terkenal dalam lakonan pentas dan televisyen siri Pak Awang Temberang terbitan Radio Televisyen Singapura (RTS).

Bagi Allahyarhamah Pon Bachik sendiri, beliau diketahui aktif dalam bidang tarian dahulu, bersama kumpulan Sriwana, sebelum beralih ke bidang lakonan di radio, pentas bangsawan dan kemudian dalam drama-drama Melayu Singapura.
Beliaulah wanita yang acap kali diketahui "mudah mengalirkan air mata" dan selalu berjaya mengusik emosi para penonton.

Kecemerlangannya dalam bidang lakonan diiktiraf pada 2015 apabila menerima Anugerah Perdana Emas di Pesta Perdana. Pemberian anugerah itu juga bertepatan dengan SG50.

Beliau dan suami, Mahfudz Abdul Majid, dikurniakan empat orang anak.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita