Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon veteran Hollywood Betty White tutup usia pada usia 99 tahun

Pelakon komedi Betty White disayangi ramai menerusi watak-watak yang membawa kepada kemenangannya di Anugerah Emmy, iaitu The Golden Girls dan The Mary Tyler Moore Show.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon veteran Hollywood Betty White tutup usia pada usia 99 tahun

Betty White pada 19 Feb 2012. (Gambar: REUTERS/Phil McCarten)

Diterbitkan : 01 Jan 2022 08:55AM Dikemas Kini : 01 Jan 2022 08:55AM

HOLLYWOOD: Pelakon komedi Betty White, yang sudah lebih 80 tahun menceburi bidang lakonan dan disayangi ramai menerusi watak-watak yang membawa kepada kemenangannya di Anugerah Emmy - iaitu The Golden Girls dan The Mary Tyler Moore Show - meninggal dunia pada usia 99 tahun.

White menutup usia kurang tiga minggu daripada ulang tahun ke-100 beliau, menurut laporan majalah People pada Jumaat (31 Dis), yang memetik ejen beliau.

Ejen yang juga sahabatnya, Jeff Witjas, memberitahu majalah itu: "Meskipun Betty bakal menginjak usia 100 tahun, saya rasa beliau akan hidup selama-lamaya."

Dalam industri hiburan yang bergemerlapan dengan bintang-bintang muda, di mana pelakon berusia lebih 40 tahun berdepan dengan kerjaya yang kian pudar, White jelas berbeza. Beliau merupakan seorang bintang tahun 60-an dan fenomena budaya pop pada tahun-tahun 80-an dan 90-an.

Malah, White masih membintangi sitkom televisyen Hot in Cleveland pada usia 92 tahun, sehingga rancangan itu ditamatkan pada lewat tahun 2014.

White berkongsi bahawa usianya yang panjang adalah hasil kesihatan yang baik, tuah yang baik dan kerana beliau cintakan kerjanya.

"Ia sesuatu yang menakjubkan bahawa saya masih berada dalam industri ini dan anda masih boleh tahan dengan kerenah saya," kata White semasa kemunculannya di acara Anugerah Emmy pada tahun 2018, di mana beliau diiktiraf atas kerjayanya yang panjang.

"Usianya yang lanjut tidak sedikit pun melemahkan dirinya," lapor New York Times pada tahun 2013. "Ia malah memberi beliau semangat dan tenaga baru."

Betty Marion White dilahirkan pada 17 Januari 1922 di Oak Park, Illinois.

Keluarganya berpindah ke Los Angeles semasa zaman kemelesetan besar ekonomi atau The Great Depression, di mana beliau belajar di Beverly Hills High School.

White memulakan kerjaya hiburannya di radio pada lewat tahun 1930-an dan menjelang 1939, beliau sudahpun membuat kemunculan pertama bernyanyi di Los Angeles.

Selepas berkhidmat dalam Khidmat Sukarela Wanita Amerika, yang membantu usaha Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua, beliau kerap muncul dalam rancangan Hollywood on Televisyen, iaitu acara hiburan harian sepanjang lima jam yang disiarkan secara langsung pada tahun 1949.

Beberapa tahun kemudian, beliau menjadi wanita perintis dalam dunia televisyen dengan mengasaskan bersama sebuah syarikat penerbitan dan berkhidmat sebagai penerbit dan bintang sitkom tahun 50-an Life With Elizabeth.

Semasa tahun-tahun 60-an dan awal 70-an, White juga dilihat sering menghiasi kaca televisyen dengan mengacarakan liputan tahunan Tournament of Rose Parade dan muncul dalam rancangan permainan seperti Match Game dan Password. Beliau berkahwin dengan pengacara Password Allen Ludden, yang juga suami ketiga dan terakhirnya pada tahun 1963.

Sumber : Reuters/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa