Pelakon veteran, Fatimah Yassin derita patah tulang belakang
Akibat terjatuh di sebuah pusat beli belah, pelakon veteran Fatimah Yassin tidak mampu meneruskan kegiatan hariannya sejak September tahun lalu.
Pelakon veteran Fatimah Yassin. (Gambar-gambar: Rena Tan II/Facebook)
MALAYSIA: Akibat terjatuh di sebuah pusat beli belah, pelakon veteran Fatimah Yassin tidak mampu meneruskan kegiatan hariannya sejak September tahun lalu.
Menurut Fatimah, 79 tahun, beliau disahkan menghidap osteoporosis (tulang rapuh) yang mengakibatkan patah tulang belakang dan kini masih menjalani rawatan pakar, lapor laman mStar.
"Ketika kejadian saya berada di sebuah pusat beli belah, saya terjatuh dengan tiba-tiba dan bermula daripada situlah saya tidak mampu nak berjalan seperti biasa.
"Doktor sahkan saya mengalami tulang rapuh dan tulang belakang di bahagian T3 patah serta memerlukan rawatan fisioterapi.
Fatimah menceritakan punca beliau terbaring dan tak mampu berjalan.
"Sebelum ini pun saya memang ada sakit lutut kerana terlalu aktif, tak sangka pula akibat jatuh itu membuatkan saya tak mampu bergerak," katanya kepada mStar Online.
Fatimah ditemui semasa kunjungan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dan Persatuan Seniman Malaysia di kediamannya di Petaling Jaya, pada hari ini (23 Jan).
Turut bersama dalam kunjungan itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari, Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dan Presiden Seniman, Zed Zaidi.
Sementara itu, pelakon yang dikenali menerusi drama PJ Holding pada era 1980an ini berkata, beliau dimasukkan ke hospital lebih tiga bulan dan doktor memaklumkan peluang untuk mampu berjalan seperti biasa agak tipis.
Malah, beliau memerlukan hampir RM5,000 (S$1,680) sebulan untuk menampung perbelanjaan bulanan bagi kos perubatan.
"Saya dimasukkan ke hospital lebih tiga bulan dan kini menjalani rawatan fisioterapi. Rawatan tersebut hanya untuk bantu saya berdiri dan kalau nak berjalan mungkin agak sukar.
"Rawatan awal, saya membelanjakan hampir RM10,000 dan kos rawatan susulan pula mencecah RM5,000 sebulan.
"Semua perbelanjaan perubatan itu saya tanggung sendiri dengan bantuan anak-anak dan saudara-mara," katanya kepada mStar Online.
Zed Zaidi turut menyerahkan kad keahlian Seniman kepada Fatimah Yassin.
Dalam pada itu, Presiden Seniman, Zed Zaidi, berkata lawatan dan kunjungan persatuan tersebut adalah bagi menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada pelakon drama ini.
"Ini lawatan pertama kami untuk tahun 2018. Alhamdulillah, hari ini kunjungan turut disertai oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Finas.
"Seniman melihat Fatimah memerlukan bantuan dan kerana itu kita melawat dan hulurkan sedikit sumbangan kepada pelakon veteran ini," katanya.
Fatimah memulakan karier seni awal tahun 50an dan mencipta nama sebagai pelakon dalam drama pentas Ribut yang diadaptasi dari drama Cina berjudul Thunderstorm pada tahun 1960an, lapor laman mStar.
Beliau menceburi bidang lakonan ketika berusia belasan tahun di Singapura.
Fatimah juga pernah menjadi penyampai radio RTM bagi saluran FM Stereo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.