Pelakon tempatan didakwa cabul amah, bagaimanapun kes diselesaikan di luar mahkamah
Seorang pelakon lelaki tempatan dihadapkan ke mahkamah setelah berdepan lapan pertuduhan menghina dan mencabul kehormatan pembantu rumahnya.
Mahkamah Negara. (Gambar: Xabryna Kek)
SINGAPURA: Seorang pelakon lelaki tempatan dihadapkan ke mahkamah setelah berdepan lapan pertuduhan menghina dan mencabul kehormatan pembantu rumahnya. Perbuatan-perbuatan tersebut dikatakan berlaku pada tahun 2016.
Pelakon drama-drama Melayu bagi televisyen tempatan berusia 39 tahun itu dibicarakan di Mahkamah Negara semalam (19 Dis) bagi sesi perbicaraan pertama.
Hari ini (20 Dis) sepatutnya menjadi hari kedua perbicaraan di mahkamah, namun ia dibatalkan kerana kedua-dua pihak memutuskan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Kesemua pertuduhan ditarik balik oleh plaintif dan ini disampaikan kepada Hakim semasa perbicaraan semalam. Sungguhpun demikian ini tidak bermakna pelakon tersebut sudah bebas daripada tuduhan (not an acquittal).
Identiti lelaki berkenaan juga bagaimanapun tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah demi melindungi identiti mangsa.
Peguam bela John Koh dan Kalidass Murugaiyan, tidak mendedahkan apakah bentuk penyelesaian yang dicapai antara pelakon tersebut dengan amah berkenaan.
Menurut kertas-kertas pertuduhan, lelaki tersebut mula didakwa pada September tahun 2017 dan berdepan dengan lapan pertuduhan kesemuanya. Tujuh daripada bagi kesalahan mencabul kehormatan dan satu bagi kesalahan menghina kehormatan. Kesemuanya dilakukan dalam bulan September 2016.
Pada 2 September 2016, antara pukul 1.00 dengan 4.00 pagi, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas pembantu rumahnya dengan menyentuh bahu, lengan, tangan dan bahagian peha pembantu rumahnya.
Pada hujung minggu 10 dan 11 September 2016, dia dikatakan menggunakan kekerasan jenayah dengan menggesel bahagian kemaluannya pada bahagian belakang kepala mangsa yang berusia 27 tahun.
Lewat bulan September tahun yang sama, dia dikatakan sekali lagi menggunakan kekerasan jenayah dengan merenggut pinggang mangsa semasa berada di sebuah kompleks renang di Singapura.
Lelaki berkenaan juga dikatakan menggangu privasi wanita tersebut dengan mengintipnya semasa beliau sedang mandi.
Pada hujung September 2016, kira-kira pukul 6.30 pagi, pelakon tersebut dikatakan sekali lagi melakukan kekerasan jenayah dengan menggunakan kaki untuk menyentuh bahagian kemaluan wanita berkenaan.
Dalam responsnya kepada Channel NewsAsia menerusi peguamnya, pelakon tersebut menyatakan begini:
"I am very thankful that Allah loves me and that Allah always protects me from harm." (Saya sangat bersyukur kerana Allah menyayangi saya dan Allah sentiasa melindungi saya daripada keburukan.)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.