Skip to main content

Hiburan

Pelakon Star Trek, X-Men Patrick Steward meninggal dunia pada usia 86 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
 Pelakon Star Trek, X-Men Patrick Steward meninggal dunia pada usia 86 tahun

Pelakon Patrick Stewart tiba di majlis Anugerah Primetime Emmy ke-73 di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada 19 Sep 2021. (Gambar: Reuters/Mario Anzuoni)

Diterbitkan : 30 Oct 2026 07:24AM Dikemas Kini : 30 Oct 2026 07:29AM
Star Trek and X-Men actor Patrick Stewart dies at 86
  • British actor Patrick Stewart died at his home in Los Angeles at the age of 86 on Wednesday, 28 October, after suffering from Alzheimer’s disease and Lewy body dementia.
  • He began his career in British theatre, including with the Royal Shakespeare Company, before achieving international fame as Captain Jean-Luc Picard in Star Trek and Professor Charles Xavier in X-Men.
  • His role as Xavier for more than 25 years helped change how superhero stories were told, while his stage performances earned him two Olivier Awards; he also received a Grammy and a British knighthood.
  • His childhood experience of domestic violence prompted him to support Refuge, and his final appearance as Xavier is scheduled for Avengers: Doomsday, which is expected to be released in December.
Dijana oleh AI

LOS ANGELES: Pelakon terkenal Britain, Patrick Stewart, yang dikenali menerusi wataknya dalam filem Star Trek dan X-Men, meninggal dunia di rumahnya di Los Angeles pada usia 86 tahun.

Beliau meninggal dunia pada Rabu (28 Okt) selepas menghidapi penyakit Alzheimer dan demensia badan Lewy, menurut kenyataan rasmi di akaun media sosialnya.

"Suara beliau yang lantang dan bakatnya yang luar biasa akan sentiasa dikenang menerusi lakonan hebatnya dalam pelbagai genre," menurut kenyataan itu.

Stewart, yang berasal dari Yorkshire di utara England, memulakan kerjaya lakonannya di Britain bersama Royal Shakespeare Company dan National Theatre di London, selain muncul dalam rancangan televisyen Britain.

Namun, beliau meraih kemasyhuran antarabangsa menerusi wataknya sebagai Kapten Jean-Luc Picard dalam siri Star Trek: The Next Generation dan Profesor Charles Xavier dalam beberapa filem X-Men serta filem Marvel yang berkaitan.

"Beliau meneroka pelbagai aspek kehidupan dan emosi manusia melalui lakonannya, serta membawa harapan bukan sahaja dalam dunia Marvel, malah dalam dunia fiksyen sains menerusi kapal angkasa Enterprise," menurut kenyataan rasmi itu.

KEJAYAAN MENERUSI STAR TREK

Stewart berusia 47 tahun apabila dipilih memegang watak Kapten Picard dalam Star Trek: The Next Generation, siri televisyen susulan kepada rancangan fiksyen sains popular yang bermula pada akhir 1960-an.

Beliau mengambil alih peranan sebagai kapten kapal angkasa yang sebelum itu sinonim dengan watak Kapten Kirk, lakonan William Shatner dalam siri asal.

Watak Picard akhirnya membawa nama Stewart ke persada antarabangsa dan membuka peluang besar dalam kerjaya lakonannya.

Picard juga terkenal dengan ungkapan "Make it so!", yang kemudian menjadi tajuk memoir Stewart, Making It So, yang diterbitkan pada 2023.

Bagaimanapun, perpindahan Stewart ke Amerika Syarikat pada 1987 pada mulanya menerima sambutan dingin.

Akhbar Los Angeles Times ketika itu menyifatkannya sebagai "pelakon Shakespeare dari Britain yang tidak dikenali".

Stewart kemudian berkata beliau tersinggung dengan tanggapan bahawa keputusannya berlakon dalam televisyen Amerika bermakna beliau memilih pekerjaan yang kurang bermutu.

Beliau pernah berkata pengalaman berlakon dalam karya Shakespeare sebenarnya menjadi persediaan terbaik untuk memegang watak kapten kapal angkasa Enterprise.

DIKENANG MENERUSI WATAK PROFESOR XAVIER

Stewart terus mencipta kejayaan dalam dunia perfileman apabila mula membawakan watak Profesor Charles Xavier pada tahun 2000, iaitu pengasas dan pembimbing kumpulan adiwira mutan dalam siri filem X-Men.

"Selama lebih 25 tahun, beliau memberikan kewibawaan dan penghayatan mendalam kepada watak itu, sekali gus memenangi hati peminat di seluruh dunia dan membantu mengubah cara kisah adiwira dipersembahkan," menurut Marvel Studios pada Khamis.

Pelakon Hugh Jackman, yang membawakan watak Wolverine dan sering berlakon bersama Stewart, mengenangnya sebagai antara pelakon pentas dan layar perak terhebat, selain seorang sahabat yang sangat baik.

Antara 2020 hingga 2023, Stewart kembali membawakan watak ikoniknya dalam siri televisyen Star Trek: Picard.

Sepanjang kerjayanya, beliau menerima empat pencalonan Anugerah Emmy, namun tidak pernah memenanginya.

Walaupun berjaya di Hollywood, Stewart tidak pernah melupakan minatnya terhadap teater, khususnya karya William Shakespeare.

Beliau sering kembali berlakon di pentas teater ketika tidak terlibat dalam penggambaran filem, dan berjaya memenangi dua Anugerah Olivier.

"Selepas menghabiskan begitu banyak masa dalam hidup saya dengan dunia, perasaan dan pemikiran Shakespeare,  terasa seperti beliau seorang sahabat yang hanya keluar sebentar untuk mengambil sebotol lagi wain," kata Stewart.

Beliau turut memenangi Anugerah Grammy bagi kategori rakaman pertuturan menerusi penceritaannya dalam Prokofiev: Peter And The Wolf.

KEHIDUPAN AWAL YANG PENUH CABARAN

Stewart dilahirkan pada 13 Julai 1940 di Mirfield, sebuah bandar kecil di West Yorkshire, England.

Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga beradik lelaki dalam keluarga kelas pekerja.

Ketika membesar, Stewart berdepan suasana rumah tangga yang sukar akibat keganasan dalam keluarga.

Bapanya, yang pulang daripada Perang Dunia Kedua dan dipercayai mungkin mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), sering memukul ibunya.

Pengalaman itu kemudian mendorong Stewart bekerjasama dengan Refuge, sebuah badan kebajikan yang membantu mangsa keganasan rumah tangga.

Stewart meninggalkan sekolah pada usia 15 tahun, namun mendapat dorongan daripada guru Bahasa Inggerisnya, Cecil Dormand, yang memperkenalkannya kepada karya Shakespeare dan memberinya peluang pertama berlakon dalam pementasan bersama pelakon dewasa.

Beliau mula belajar di Bristol Old Vic Drama School pada 1957 sebelum memulakan kerjaya lakonan profesional dua tahun kemudian.

Oleh sebab rambutnya mula gugur pada usia muda, Stewart sering terlepas peluang membawakan watak lelaki muda yang romantik.

Namun, beliau berjaya membina kerjaya dalam teater dan menyertai Royal Shakespeare Company pada 1966, sebelum kekal bersama kumpulan itu sehingga 1982.

Pada mulanya, Stewart mempunyai keraguan untuk menerima watak Kapten Picard dalam Star Trek, tetapi akhirnya bersetuju kerana menyangka siri itu hanya akan bertahan selama satu musim.

Jangkaannya ternyata meleset.

"Ia mengubah hidup saya," kata Stewart mengenai kejayaan siri tersebut.

Stewart dijadualkan membuat penampilan terakhirnya di layar perak sebagai Profesor Xavier dalam filem Avengers: Doomsday, yang dijangka ditayangkan pada Disember.

Beliau menerima gelaran kesatria daripada kerajaan Britain pada 2010 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang seni lakonan.

Stewart berkahwin sebanyak tiga kali, pertama dengan Sheila Falconer, yang memberinya dua orang anak termasuk Daniel, yang juga seorang pelakon.

Beliau kemudian berkahwin buat tempoh singkat dengan penerbit Star Trek, Wendy Neuss, sebelum mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Amerika, Sunny Ozell, yang 38 tahun lebih muda daripadanya.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita