Pelakon 'Slumdog Millionaire' Irrfan Khan meninggal dunia
Pelakon filem India, Irrfan Khan yang membintangi beberapa filem Hollywood seperti Life Of Pi dan The Namesake, meninggal dunia pada Rabu (29 Apr).
Irrfan Khan. (Gambar: Reuters)
MUMBAI: Pelakon filem India, Irrfan Khan yang membintangi beberapa filem Hollywood seperti Life Of Pi dan The Namesake, meninggal dunia pada Rabu (29 Apr).
Beliau juga muncul dalam Slumdog Millionaire, Jurassic World dan The Amazing Spider-Man.
Menurut seorang jurucakap bagi pelakon itu dalam satu kenyataan ringkas, Khan meninggal dunia akibat barah.
Beliau memuat naik di Twitter pada 2018 bahawa beliau didiagnos menghidap tumor endokrin yang menjejas sel-sel yang mengeluarkan hormon ke dalam saluran darah. Beliau dimasukkan ke hospital Mumbai awal minggu ini disebabkan jangkitan kolon.
Khan, 53 tahun, adalah antara pelakon India pertama yang muncul di pawagam Barat, menyusuli beberapa pelakon lain seperti Saeed Jaffrey, Roshan Seth dan Om Puri.
"Bakat yang mengagumkan," menurut bintang Bollywood Amitabh Bachchan, antara sanjungan yang mencurah-curah di Twitter menyusuli kematian Khan. "Seorang rakan kerja yang baik hati. Seorang penyumbang prolifik dalam dunia perfileman ... meninggalkan kita terlalu awal, menyebabkan kekosongan besar."
Seorang lagi pengarah terkenal, Karan Johar, berkata: "Terima kasih kerana meningkatkan martabat pelakon ... Terima kasih kerana memperkayakan dunia perfileman ... Kita akan merindui anda, Irrfan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.