Skip to main content

Hiburan

Pelakon SG Shahid Nasheer meninggal dunia pada usia 28 tahun susuli komplikasi rawatan leukemia

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon SG Shahid Nasheer meninggal dunia pada usia 28 tahun susuli komplikasi rawatan leukemia

Shahid Nasheer dalam pementasan Brown Boys Don’t Tell Jokes pada 2023. (Gambar: Instagram/checkpointtheatre)

SINGAPURA: Pelakon Singapura, Shahid Nasheer meninggal dunia pada usia 28 tahun akibat komplikasi daripada rawatan leukemia.

Allahyarham pernah membintangi pelbagai penerbitan teater di Singapura dan juga memegang watak sokongan dalam filem Filipina 'Elevator', yang dikeluarkan pada Ogos tahun ini.

Pada 15 Okt, syarikat teater yang berpangkalan di Singapura, Checkpoint Theatre memberi penghormatan kepada Allahyarham, menyifatkannya sebagai "rakan kerja hebat dalam bilik latihan".

Allahyarham dan Checkpoint Theatre telah bekerjasama dalam beberapa produksi termasuk Brown Boys Don't Tell Jokes pada 2023 dan Secondary: The Musical pada 2024.

"Kami semua di Checkpoint Theatre sangat berdukacita atas pemergiannya. Kami sangat menghormati seninya, dan kami sangat menghargai persahabatannya," tulis syarikat itu.

"Seperti semua pelakon hebat, Shahid tahu bagaimana untuk membawa dan menjayakan pelbagai watak. Beliau dapat menghayati lakonan wataknya dengan begitu mudah... Kehidupan kami dan kerja kami diperkaya dengan kehadirannya. Hanya dalam tempoh 24 bulan kerjasama intensif , kami sudah mula menyayanginya dengan sedalam-dalamnya. Kami akan melakukan yang terbaik untuk meneruskan, dan untuk menghasilkan persembahan yang Shahid sendiri mahu menyaksikan dan ingin mengambil bahagian."

Menurut Checkpoint Theatre, Shahid sedang menulis dan menghasilkan persembahan artis tunggal untuk mereka sebelum meninggal dunia.

"Halaman tulisan tangannya telah ditaip dalam Dokumen Google, malangnya ia tidak dapat disiapkan sekarang."

Pada 3 Okt lalu, Shahid mendedahkan bahawa beliau telah disahkan menghidap leukemia dan menjalani rawatan selama 17 hari.

Menurut Shahid, doktor memberitahunya untuk "memberi tumpuan semata-mata untuk terus hidup dan meneruskan rawatan".

"Kemoterapi itu merosakkan badan saya dan setiap kali saya rasa keadaan bertambah baik, beberapa komplikasi teruk muncul dan keadaan mental saya terkesan," tulisnya.

"Terpaksa melepaskan begitu banyak projek dan trajektori kerjaya saya terjejas, tetapi perkara baharu muncul dalam kehidupan saya. Saya memohon maaf kerana saya tidak dapat menerima mana-mana pihak yang ingin menziarahi saya, ia sangat menyayat hati untuk melihat bagaimana keluarga saya turut terjejas.. .Ramai orang yang menunggu saya untuk kembali pulih, tetapi ia akan mengambil masa yang lebih lama. Tetapi jangan risau, yang saya perlukan adalah kekuatan, keberanian dan harapan untuk melawan penyakit ini, jika anda kenali saya, awak tahu saya akan berusaha sedaya upaya."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita