Skip to main content

Hiburan

Pelakon SG Eleanor Lee nafi hina warga China

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon SG Eleanor Lee nafi hina warga China

Pelakon Singapura Eleanor Lee. (Gambar: Instagram/eleanorleex)

Diterbitkan : 11 May 2025 08:58PM Dikemas Kini : 11 May 2025 09:08PM

SINGAPURA: Pelakon wanita Singapura, Eleanor Lee akhirnya membuka mulut menyusuli kemarahan online berhubung klip audio yang tersebar,yang mendakwa pelakon berusia 25 tahun itu melontarkan komen yang menghina warga China.

Kekecohan tercetus apabila seorang warganet yang mendakwa dirinya sebagai bekas penolong Lee dedahkan rakaman audio selama 30 saat di platform media sosial China Weibo pada April.

Dalam rakaman itu, seorang wanita kedengaran berkata dia "berbuat begitu bukan kerana nama, tetapi kerana wang" sambil menambah bahawa "kebanyakan orang di China bodoh".

Lee menggunakan platform media sosial Instagram, Weibo dan Facebook pada Sabtu (10 Mei) untuk menjelaskan keadaan.

Dia menulis, "Saya mohon maaf kerana menimbulkan begitu banyak kontroversi dan membazir sumber awam. 

"Saya sangat terkejut apabila terdengar rakaman itu. Ia tentu sekali bukan apa yang saya maksudkan."

Anak kepada hos televisyen Singapura kelahiran Taiwan, Quan Yifeng dan pelakon tempatan Peter Yu – berkata, "Saya berusia 26 tahun sekarang dan telah menghabiskan hampir separuh hidup saya di China. 

"Di sini, saya telah dapat banyak peluang dan dapat berkembang maju dalam kerjaya yang saya cintai. 

"Saya disayangi dan rasa amat bersyukur dengan negara ini."

"Tentang kenapa saya tidak segera menafikan(dakwaan itu) adalah kerana kami masih menyusun fakta, dengan harapan dapat memberikan jawapan yang memuaskan kepada semua orang."

"Saya juga berharap untuk membuktikan sikap saya dengan peri laku saya, dan saya mengalu-alukan semua orang untuk menelitinya."

Lee mula menjadi terkenal di China pada 2015 selepas muncul dalam iklan Apple China yang diarahkan oleh pembuat filem Hong Kong Ann Hui yang memenangi anugerah.

Dia menceburi bidang lakonan di China dan menuntut di Akademi Filem Beijing yang berprestij pada 2017. 

Lee membintangi beberapa siri televisyen China termasuk Solaso Bistro (2017), My Poseidon (2019) dan My Love, Enlighten Me (2020).

Selain itu, Lee membintangi filem Cina The Enchanting Phantom (2020), sebuah filem Hong Kong pada A Chinese Ghost Story keluaran 1987 yang diterbitkan semula, di mana dia memainkan watak Nie Xiaoqian.

Lee dikatakan akan membintangi drama zaman China yang akan disiarkan The Journey Of Legend. 

Bagaimanapun, sejak tercetus kekecohan online itu, namanya dipercayai telah digugurkan daripada senarai pelakon.

Drama bersiri itu berdasarkan karya novel penulis kelahiran Malaysia, Woon Swee Oan, di mana Lee memainkan salah satu watak utama, Tang Fang, bersama pelakon Cina Cheng Yi dan pelakon China Gulnazar Bextiyar.

Penggambaran The Journey Of Legend digulung pada Oktober 2024. 

Meskipun tarikh rasmi tayangan perdananya masih belum diumumkan, warganet membuat spekulasi bahawa tarikh pelancaran drama itu mungkin terjejas oleh kekecohan yang berlaku.

Sumber : CNA/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita