Pelakon 'The Rocky Horror Picture Show' Tim Curry meninggal dunia pada usia 80 tahun
Pelakon Britain Tim Curry menghadiri Anugerah Costume Designers Guild ke-10 di Beverly Hills, California, pada 19 Feb 2008. (Gambar: Reuters/Phil McCarten)
Punca kematiannya belum dinyatakan, namun Curry sudah lama mengalami masalah kesihatan.
Dengan suara baritonnya yang tersendiri, Curry membintangi pelbagai filem, sering membawa watak penjahat, selain menerima tiga pencalonan Anugerah Tony menerusi persembahannya di Broadway.
Beliau juga menjadi pelakon suara bagi banyak filem animasi dan rancangan televisyen.
Namun, Curry paling dikenali menerusi watak Dr Frank N Furter dalam filem sulungnya, komedi muzikal seram 'The Rocky Horror Picture Show' pada 1975.
Filem yang turut dibintangi Susan Sarandon dan Barry Bostwick itu kemudian menjadi sebuah karya klasik kultus.
Curry pernah mengakui bahawa beliau bimbang watak luar biasa itu akan terus dikaitkan dengannya sepanjang kerjaya.
Dalam satu wawancara televisyen pada 1975, Curry berkata beliau pada awalnya agak keberatan menerima watak tersebut kerana bimbang sukar melepaskan diri daripada imej berkenaan jika filem itu berjaya.
Namun, beliau percaya sesuatu watak tidak berbaloi dilakonkan jika seseorang tidak sanggup mengambil risiko.
PELBAGAI WATAK DALAM FILEM, PENTAS
Antara filem lain yang dibintangi Curry ialah 'Charlie's Angels' (2000), 'Muppet Treasure Island' (1996), 'The Shadow' (1994), 'The Three Musketeers' (1993), 'Home Alone 2: Lost in New York' (1992), 'Clue' (1985), 'Legend' (1985) dan 'Annie' (1982).
Beliau dicalonkan bagi Anugerah Tony pada 1981 menerusi watak Mozart dalam 'Amadeus'.
Curry menerima dua lagi pencalonan Tony menerusi 'My Favorite Year' pada 1993 dan watak King Arthur dalam muzikal Monty Python 'Spamalot' pada 2005.
Suara baritonnya turut menjadikan Curry pelakon suara yang mendapat permintaan tinggi bagi filem animasi dan rancangan televisyen.
Beliau memenangi Anugerah Daytime Emmy pada 1991 menerusi lakonan suaranya dalam siri animasi 'Peter Pan & The Pirates'.
Dengan senyuman sinis dan ketawa yang menggerunkan, Curry juga sering dipilih membawa watak penjahat dalam filem Hollywood, termasuk watak yang mempunyai unsur komedi.
'ROCKY HORROR' BINA PENGIKUT KULTUS
Curry dilahirkan di Grappenhall, Cheshire, England, pada 19 April 1946.
Ayahnya, seorang paderi Tentera Laut Diraja Britain, meninggal dunia ketika Curry berusia 12 tahun, manakala ibunya bekerja sebagai setiausaha sekolah.
Curry kemudian mengikuti pengajian drama di Universiti Birmingham.
Pada 1973, beliau mendapat watak Dr Frank N Furter dalam pementasan asal London 'The Rocky Horror Show'.
Beliau kemudian membawakan watak itu di New York dan Los Angeles sebelum karya tersebut diadaptasi menjadi filem dengan judul 'The Rocky Horror Picture Show'.
Filem tersebut tidak mendapat sambutan serta-merta selepas ditayangkan tetapi kemudian membina pengikut kultus menerusi tayangan tengah malam di New York dan tempat-tempat lain.
Para penonton juga sering berpakaian sebagai watak-watak daripada filem tersebut semasa menghadiri tayangannya.
ALAMI STROK PADA 2013
Curry menarik diri daripada sebuah pementasan di Britain pada 2011 akibat masalah kesihatan.
Pada 2013, ejennya mendedahkan bahawa Curry mengalami strok tetapi sedang pulih.
Sejak itu, beliau menggunakan kerusi roda dan mengurangkan kegiatan seninya.
Namun pada 2024, Curry kembali ke layar perak menerusi filem seram 'Stream'.
Curry, yang menetap di Los Angeles, tidak pernah berkahwin dan tiada anak.
Selain berlakon, beliau juga seorang komposer dan penyanyi serta pernah membuat persembahan bersama kumpulan rock sendiri dan menghasilkan beberapa album.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.