Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon Ridzuan Hashim dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon Ridzuan Hashim dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung

Gambar: Oh Bulan

Diterbitkan : 04 May 2023 03:56PM Dikemas Kini : 04 May 2023 06:42PM
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal Malaysia, Ridzuan Hashim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 1.57 tengah hari Khamis (4 Mei), dipercayai akibat serangan jantung.

Anak saudara Allahyarham, Iman Zulkarnain, 32 tahun, ketika ditemui di HKL berkata bapa saudaranya yang berumur 62 tahun itu menghidap masalah jantung sejak tiga tahun lalu.

“Allahyarham rebah secara tiba-tiba semasa sedang bersarapan pagi. Usaha memberi CPR (bantuan pernafasan) juga telah dilakukan oleh anaknya ketika itu sebelum menghubungi ambulans.

“Arwah kemudiannya dikejarkan ke HKL sekitar 1.00 pagi tadi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah memaklumkan jenazah Allahyarham kini berada di HKL untuk urusan bedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Dusun Tua Batu 16, Hulu Langat.

Beliau berkata jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Hulu Langat selepas Maghrib. 

“Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Barisan Exco Seniman Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga (Allahyarham) dan semoga tabah hadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ridzuan, yang dilahirkan pada 13 Ogos 1961, mendirikan rumah tangga dengan pelakon Didie Alias pada 1991 dan dikurniakan lima orang anak, namun perkahwinan mereka berakhir pada 2002. 

Antara filem lakonan beliau adalah Antara Dua Hati yang ditayangkan pada 1988 iaitu filem pertamanya, Hati Bukan Kristal (1990), Lurah Dendam (1996), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Sri Dwi Malam (2001), Cinta 200 Ela (2002), SH3 (2004), Qaisy & Laila (2005), 1957: Hati Malaya (2007), Dunia Baru The Movie (2008), selain KL Gangster yang telah menonjolkan bakat lakonannya sebagai ‘King’.

Ridzuan juga pernah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.

Sementara itu, pelakon Didie Alias yang juga bekas isteri Allahyarham Ridzuan turut berkongsi berita sedih itu di akaun Instagram peribadinya.
Sumber : Bernama/Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan