Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon M'sia Zed Zaidi antara 4 individu didakwa sebar berita palsu COVID-19

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi adalah dalam kalangan empat individu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini (21 Feb) kerana menyebarkan berita palsu berkaitan penularan COVID-19 menerusi media sosial bulan lalu

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon M'sia Zed Zaidi antara 4 individu didakwa sebar berita palsu COVID-19

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi didakwa menyebarkan berita palsu berhubung COVID-19. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Feb 2020 06:17PM Dikemas Kini : 21 Feb 2020 06:21PM

SEPANG: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi adalah dalam kalangan empat individu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini (21 Feb) kerana menyebarkan berita palsu berkaitan penularan COVID-19 menerusi media sosial bulan lalu.

Bagaimanapun, Zed atau nama sebenar Rozaidi Abdul Jamil, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A.Akhiruddin@Boy Acho.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan, Zed didakwa menggunakan aplikasi Twitter di bawah akaun rozaidijamil dengan niat menyebabkan kegentaran awam justeru dikhuatiri mungkin mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Pelakon tersebut didakwa berkongsi berita palsu berbunyi: Breaking News: All countries except Malaysia - All countries has banned Chinese tourist except Malaysia yang dimuat naik menerusi akaun Facebook dan Twitternya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 27 Januari lalu, jam 12.51 tengah hari, dan dikesan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya pada 29 Januari, pukul 10.30 pagi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 (S$1,700) dan menetapkan kes disebut semula pada 11 Mac ini.

Zed diwakili peguam Zamri Idrus sementara pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Siamalah.

Di mahkamah yang sama, seorang pengarah syarikat, Mohd Khairul Anuar Rosli, 30 tahun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama dengan menggunakan aplikasi web ‘Oh My Media’ yang mendapat perhatian SKMM pada jam 1.20 tengah hari, 27 Jan lalu.

A.Akhiruddin kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dan tarikh sebutan semula pada 17 Mac ini.

Dalam pada itu, dua individu - juruteknik, Mohd Afendy Mohd Said, 34 tahun, dan peniaga, Syed Mohd Faiz Syed Nasir, 28 tahun - mengaku bersalah atas kesalahan sama dan masing-masing diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 (S$1,335) dengan tarikh jatuh hukum ditetapkan pada 17 Mac ini.

Mohd Afendy didakwa menggunakan aplikasi Facebook menerusi akaun Afendy Said yang dibaca SKMM pada jam 2.30 petang, 27 Jan lalu, manakala Syed Mohd Faiz pula menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun faeznasirr yang dikesan oleh SKMM pada jam 3.30 petang, hari yang sama. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan