Skip to main content

Hiburan

Pelakon Janna Nick, Dini Schatzmann selamat bergelar suami isteri

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Akhirnya teka-teki terjawab apabila pelakon Janna Nick sah menjadi isteri kepada pelakon Dini Schatzmann dalam majlis pernikahan yang diadakan di sebuah masjid di Langkawi, sekitar pukul 8.35 pagi Sabtu (10 Jun).

Dengan sekali lafaz, Dini dan Janna dinikahkan oleh Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya, berwalikan bapa kepada pelakon wanita itu dan bersaksikan sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri serta Amar Fikri.

Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 (S$787) kepada Janna dan seutas rantai emas, lapor Astro Gempak.

Jumlah mas kahwin tersebut adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.

Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut.

Antara rakan artis yang hadir menyerikan majlis tersebut ialah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

Pasangan mempelai tersebut seterusnya diraikan dalam satu majlis resepsi yang berlangsung di sebuah pusat peranginan terkemuka di Langkawi, menurut laporan Astro Gempak.

Majlis doa selamat dan bacaan yassin berlangsung pada sebelah malam Jumaat (9 Jun). Ia turut dihadiri penceramah, Ustaz Wadi Annuar, dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua belah mempelai.

Acara yang diadakan dengan bertemakan serba putih itu turut disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok Gempak.

Sekitar Februari lalu, Dini memaklumkan bakal mengumumkan satu berita besar berkaitan hal peribadi yang turut berkait rapat dengan Janna dalam masa terdekat, menurut Astro Gempak.

Malah sebelum ini juga, khabar angin bertiup yang mendakwa pasangan itu bakal bernikah di Langkawi pada 10 Jun dan memilih pusat peranginan mewah di Pantai Cenang, Langkawi, sebagai lokasi hari bahagia mereka.

Bagaimanapun, Dini ketika ditemu bual Gempak pada 30 Mei lalu enggan mengiyakan mahupun menafikan dakwaan tersebut.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita