Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pelakon Jalaluddin Hassan bakal hoskan Malam Selebriti di Wisma Geylang Serai

Buat pertama kalinya, nama pelakon-pelakon hebat seperti Hashimah Yon, Lela Manja, Rosnani Jamil, Zaiton Abdullah, M.Wari, Wahid Satay dan K.Fatimah akan beraksi untuk mengembalikan kegemilangan filem-filem Allahyarham P.Ramlee pada malam 14 Julai 2019 bertempat di Wisma Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, nama pelakon-pelakon hebat seperti Hashimah Yon, Lela Manja, Rosnani Jamil, Zaiton Abdullah, M.Wari, Wahid Satay dan K.Fatimah akan beraksi untuk mengembalikan kegemilangan filem-filem Allahyarham P.Ramlee pada malam 14 Julai 2019 bertempat di Wisma Geylang Serai.

Nama-nama besar yang pernah mendapat perhatian penggemar filem Melayu suatu ketika dahulu dipertemukan untuk acara "Malam Bersama Selebriti Dato Jalaluddin Hassan".

Ia dianjurkan bersama oleh Kelab Peminat P.Ramlee ( Singapura), Wisma Geylang Serai dan Zahra Arianna International Services dan dihoskan pelakon Jalaluddin Hassan.

Di sidang media yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada Isnin (24 Jun), Presiden Kelab Peminat P.Ramlee Singapura, Encik Yusof Ahmad menerangkan tujuan utama acara tersebut diadakan adalah untuk mengetengahkan artis-artis veteran yang banyak menyumbang kepada dunia perfileman Melayu Singapura.

"Anak-anak sekarang tidak tahu siapakah mereka ini. Tak banyak lagi artis-artis veteran ini. Hanya tinggal tujuh orang di Singapura, tiga orang di Malaysia yang mewakili Jalan Ampas.

“Saya pun minat dengan dunia perfileman. Tak nak macam Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bila dah tidak ada, baru semua nak kenang. Sementara mereka masih ada umur ini, saya ketengahkan mereka," kata Encik Yusof.

Acara tersebut juga sebagai satu isyarat bahawa artis-artis legenda tersebut masih diingati dan dihargai sehingga kini.

Beliau menambah bahawa pihak penganjur juga berharap untuk memperkenalkan pelakon-pelakon seperti seniwati Zaiton Abdullah dan Hashimah Yon yang biasa berlakon dengan P.Ramlee sebelum ini. Wisma Geylang Serai dipilih sebagai lokasi kerana dianggap sungguh strategik untuk masyarakat Melayu Singapura.

Tambah Encik Yusof lagi mengenai penganjuran dan kerjasama acara tersebut: "Harapan kami agar WGS akan menjadi nadi dan pusat seni budaya nusantara supaya Geylang Serai tidak akan menjadi ‘gajah putih’ seperti yang dikatakan. Ia tidak akan menjadi sebegitu."

Pada malam tersebut, kesemua artis-artis veteran yang terlibat dijangka beraksi secara spontan sahaja untuk menggambarkan kembali zaman kegemilangan filem Melayu Jalan Ampas. Mereka juga akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah mereka berlakon untuk filem-filem era P.Ramlee.

“Inilah peluang untuk kita menghargai sumbangan mereka terhadap dunia perfileman Melayu di Singapura.Tinggi sungguh harapan saya untuk masyarakat Melayu di Singapura untuk memartabatkan mereka sebagai legenda, aset negara kita yang telah mewarnai dunia perfileman melayu di Singapura," katanya dalam pertemuan tersebut yang dihadiri oleh seniwati-seniwati Zaiton Abdullah, Hashimah Yon, Lela Manja serta Jalaluddin Hassan.

Berikut adalah reaksi pelakon-pelakon yang bakal terlibat untuk acara tersebut:

SENIWATI ZAITON ABDULLAH, 82 TAHUN

"Rasa berdebar kerana mereka masih ingatkan saya lagi tapi separuh hati pun. Ingat kita ni dah tua (berumur), nak berlakon pun dah tak boleh lagi tapi terpaksalah bila kawan-kawan mintak tolong, kita pun gembira.

“Rasa macam dah mati hidup balik (ketawa) bila disatukan dengan yang lain untuk acara ini terlalu gembira. Filem terakhir saya Raja Bersiong, lepas itu tak berlakon lagilah selepas Shaw Brothers tutup. Saya orang filem, bukan orang pentas (persembahan) tapi saya akan cuba sebaik mungkinlah."

SENIWATI HASHIMAH YON, 79 TAHUN

"Rasa teruja jugak sebab dah lama kita tak tampil untuk tv jadi bila dapat peluang begini rasa bangga. Saya dilahirkan di Lorong Engku Aman jadi saya membesar di sini. Bila kita nak buat persembahan di sini saya fikir wah di tempat tumpah darah ku (ketawa).

“Seronok kadang-kadang banjir, kita tinggal dekat dengan sungai, bila ke sekolah jalan kaki sehingga ke Lorong 21 Geylang waktu itu bersama Kartina Dahari.

"Mudah-mudahan dapat penghargaan dari peminat yang datang tengok acara ini kalau mereka masih ingat dengan kita. Insya Allah selagi ada nyawa di kandung badan, Kak Shimah tetap ada. Kita ini jiwa seni, tak boleh tinggal."

Jalaluddin Hassan yang turut ditemui di Wisma Geylang Serai untuk sesi bertemu media mengatakan pelibatan beliau sebagai hos acara kali ini membuatnya "speechless" (tidak terkata) sebab ia melibatkan artis-artis veteran yang menjadi pujaan hatinya sejak beliau kecil lagi kerana beliau membesar dengan filem-filem lakonan mereka.

Undangan tersebut diibaratkan seperti "orang yang tidur disorongkan bantal".

"Saya sungguh meminati mereka. Merekalah puncanya saya terlibat dalam dunia seni ini dan mereka sentiasa menjadi inspirasi pada saya," katanya kepada BERITAmediacorp.

Beliau turut teruja kerana seniwati Zaiton Abdullah sendiri merupakan salah seorang peminatnya. Terang Jalaluddin lagi:

"Kak Zaiton kata pandainya dia (Jalaluddin) berlakon, buat Kak Zaiton menangis. Di sebalik itu, saya juga menjadi perhatian mereka."

Jalaluddin berjanji bahawa penampilan beliau kali ini tidak akan disia-siakan agar malam tersebut turut akan menjadi ingatan bahawa pelakon-pelakon Jalan Ampas memang hebat.

Tiket-tiket berharga $38 boleh diperolehi dengan menghubungi: Indah Mariam (91397178) dan Encik Yusof Ahmad (83899244). 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan