Pelakon cilik, Puteri Balqis semangat berjuang lawan barah hati
Barah tidak mengenal usia, sesiapa sahaja boleh menghidapnya. Meskipun masih muda, pelakon kanak-kanak dari Malaysia, Puteri Balqis, tetap tabahkan hati berjuang melawan barah.
Pelakon cilik dari Malaysia, Puteri Balqis. (Gambar: @rockingbalqis/Instagram)
KUALA LUMPUR: Barah tidak mengenal usia, sesiapa sahaja boleh menghidapnya. Meskipun masih muda, pelakon kanak-kanak dari Malaysia, Puteri Balqis, tetap tabahkan hati berjuang melawan barah.
Balqis, atau lebih dikenali sebagai Aqish, 11 tahun mengesahkan dirinya menghidap barah hati pada peringkat awal, lapor Astro Awani.
Beliau mendedahkan bahawa keadaan kesihatannya semakin bertambah baik selepas menjalani rawatan baru-baru ini.
Astro Awani menukil beliau sebagai berkata: "Alhamdulillah, kesihatan saya semakin pulih selepas menerima rawatan di hospital dan klinik.
"Saya sebenarnya mengalami masalah di hati dan sekarang ia masih di peringkat awal.
"Pada awalnya, saya kerap demam dan muntah darah teruk sehingga Mommy mengambil keputusan untuk membawa saya pergi ke klinik.
"Setelah melakukan X-ray, baru tahu yang saya mempunyai masalah pada hati kerana apabila bernafas saya akan berasa sakit," kata beliau.
Sebelum ini, sekeping gambar yang dimuat naikkan ke akaun Instagramnya menyematkan tanda pagar #fightcancer atau 'lawan barah' mengejutkan ramai netizen.
Menurut Astro Awani, sebuah laman online melaporkan ibunya Norashikin mengesahkan bahawa anaknya menghidap barah.
Sebelum ini, Balqis juga dilaporkan mengalami demam berpanjangan dan sering muntah-muntah pada Mei lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.