Pelakon cilik ini rakyat S'pura pertama mainkan watak Matilda dalam buku Roald Dahl
Sofia Poston mungkin rakyat Singapura yang pertama untuk memainkan watak utama dalam muzikal terkenal 'Matilda The Musical', namun kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu tidak berasa gentar.
Sofia Poston sebagai Matilda. (Gambar-Gambar: Matilda The Musical International Tour)
SINGAPURA: Sofia Poston mungkin rakyat Singapura yang pertama untuk memainkan watak utama dalam muzikal terkenal 'Matilda The Musical', namun kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu tidak berasa gentar.
"Saya memang gemar membuat persembahan di hadapan penonton," katanya kepada Mediacorp. "Saya amat suka memainkan watak Matilda dan saya berharap saya dapat memainkan watak itu setiap malam! Saya tidak penat langsung!"
Poston, seorang pelajar United World College of South East Asia, bagaimanapun akur dia berasa "agak gementar" pada malam pertama persembahan.
Poston adalah salah seorang daripada empat pelakon cilik yang memainkan watak heroin dalam muzikal yang berteraskan buku kanak-kanak tulisan Roald Dahl. Matilda The Musical akan berlangsung di Sands Theatre di Marina Bay Sands sehingga 17 Mac.
Poston memainkan watak Matilda selama empat kali seminggu dan pada masa-masa lain pula, dia memainkan watak Amanda. Tiga kanak-kanak perempuan lain yang juga memainkan watak Matilda ialah Lilla Fleischmann, Morgan Santo dan Kitty Harris - semuanya rakyat Afrika Selatan.
Poston menerima perhatian pasukan kreatif Matilda ketika dia membuat persembahan dalam muzikal Evita, yang berlangsung di Singapura pada tahun lalu.
"Saya tertanya diri saya, 'Benarkah? Adakah ini benar?'," katanya sambil mengimbas kembali perasaannya ketika menerima berita dia berjaya mendapat peluang memainkan watak tersebut.
Selepas diadakan di Singapura, Matilda The Musical akan ditayangkan di China dari Julai 2019 hingga Januari 2020 di 14 bandar termasuk Beijing, Shanghai dan Hong Kong.
Poston turut berkongsi bahawa menjadi rakyat Singapura yang pertama untuk memainkan watak Matilda merupakan satu pengalaman yang menakutkan tetapi menyeronokkan.
"Saya amat suka berada di atas pentas. Saya rasa seperti saya berjaya mencapai sesuatu jika para penonton amat menikmati persembahan itu," katanya. "Saya tidak rasa saya akan berhenti menguji bakat! Sila hubungi ibu saya! Saya sentiasa bersedia untuk memainkan watak baru!"
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.