Skip to main content

Hiburan

Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia

(Gambar: Facebook/ Badrul Muhayat)

PULAU PINANG: Pelakon Badrul Muhayat dilaporkan meninggal dunia ketika tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang pada pagi Sabtu (28 Okt).

Badrul Muhayat Ahmad Jailani menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun, lapor mStar.

Berita pemergian pelakon berkenaan disahkan oleh rakannya Anne Abdullah.

Menurut Anne, Badrul berada di Pulang Pinang bagi menyertai sebuah karnival, namun didapati tidak sedarkan diri ketika isterinya Norhayati Zulkapli mengejutkan pelakon itu daripada tidur.

"Punca kematian belum lagi disahkan. Saya rasa dia penat sangat berniaga... Banyak sangat karnival," katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Anne memberitahu bahawa jenazah Allahyarham masih berada di homestay berkenaan dan sedang menunggu tindakan susulan yang bakal dibuat.

Kata Anne, jenazah berkemungkinan akan dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mencari punca kematiannya. Namun, ia bergantung kepada insurans arwah.

Menurut mStar, sekiranya arwah tidak mempunyai sebarang insurans, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor untuk dikebumikan.

"Sekarang in mereka semua berada di homestay sedang menunggu isterinya membuat laporan polis.

"Sekiranya Allahyarham mempunyai insurans, dia akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat namun jika tidak jenazah akan terus dibawa ke Johor untuk dikebumikan," ujarnya.

Sebelum ini ketika ditemu bual mStar, Badrul merancang untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bersama isteri secara kecil-kecilan pada Disember ini.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada 18 April lalu.

Tarikh pernikahan itu dipilih sempena memperingati ulang tahun kelahirannya.

Enggan berkongsi lebih terperinci mengenai wanita pilihannya itu, Badrul memaklumkan isterinya merupakan bekas graduan Universiti Liverpool, England.

Untuk rekod, Badrul pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali namun berakhir dengan penceraian.

Hasil perkahwinan itu, Allahyarham memiliki dua orang cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun yang kini menetap bersama bekas isteri.

Badrul memulakan karier sebagai pelakon pada 1990 selepas menyertai pertandingan Hero Remaja.

Antara filem lakonannya adalah Harry Boy, Azizah The Legend, Kad Cinta, Pesona Cinta dan Anakya Sazali.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita