Skip to main content

Hiburan

Para penyanyi S'pura menang besar dalam Gegar Vaganza 6

Para penyanyi Singapura menang besar dalam final Gegar Vaganza 6 di Shah Alam, Malaysia, apabila Hady Mirza dan Jatt Ali mengisi dua daripada tiga tempat teratas.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para penyanyi Singapura menang besar dalam final Gegar Vaganza 6 di Shah Alam, Malaysia, apabila Hady Mirza dan Jatt Ali mengisi dua daripada tiga tempat teratas.

Hady dinobatkan sebagai johan bersama-sama dengan Naqiu, sementara Jatt pula menduduki tempat ketiga. Tiada tempat kedua diberikan. Hady juga mencatat satu lagi sejarah - iaitu menjadi penyanyi Singapura pertama untuk memenangi siri Gegar Vaganza ini.

Sebelum ini dua penyanyi lain dari Singapura pernah menyertai Gegar Vaganza tetapi tidak berjaya ke peringkat akhir.

Pada Gegar Vaganza 4 (2017), Ferhad tersingkir pada minggu kedua, sementara Hetty Sarlene yang menyertai Gegar Vaganza 5 (2018), beraya melangkah ke minggu ke-8 sebelum tersingkir.

Hady dan Naqiu yang masing-masing meraih markah 87 peratus, kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM100,000 (S$32,730) dan beberapa hadiah lain. Jatt pula membawa pulang hadiah RM30,000.

KENAPA ADA 2 PEMENANG? RAMLI MS JAWAB...

Bagi Hady dan Naqiu, seperti yang sudah dijangka ramai, persembahan mereka memang tidak mengecewakan.

Jika Hady memukau dengan persembahan solonya dengan lontaran 'akrobatik vokal' yang mantap. Naqiu pula mencengkam penonton dengan gema suaranya yang penuh emosi.

Namun timbul pertanyaan dari sebahagian penonton dan para wartawan sendiri dan ia diajukan kepada para juri semasa sidang media pasca pertandingan.

Ditanya BERITAmediacorp persoalan tersebut, ketua juri Ramli M.S. menyifatkan pemilihan juara GV kali ini sebagai “sukar”.

"Dalam lagu 'battle', kedua-duanya setanding. Dari segi lagu solo, lagu Hady lagi susah daripada lagu Naqiu. Lagi susah. Secara teknikal Hady lebih baik. Secara teknikal dia menyanyi. Tapi bila Naqiu nyanyi lagu yang klasik, daya kebijaksanaan (persembahan) dia setanding dengan markah Hady," kata Ramli atau lebih dikenali sebagai Tok Ram.

Beliau menekankan bahawa tidak ada salahnya memilih dua juara sekali gus dalam sesebuah pertandingan, sekiranya mereka memang layak.

"Saya perlu tegas. Kedua-duanya layak untuk berada di tempat Nombor 1. Bagi saya tidak ada salahnya. Mengapa tidak? Tidak ada unsur-unsur dari segi (dia) Malaysia ke, Singapura ke," tegas Ramli lagi.

SEMANGAT SETIAKAWAN HADY, NAQIU

Yang pasti, kedua-dua Hady dan Naqiu terkejut dengan keputusan yang diumumkan. Apabila gambar mereka berdua terpapar secara serentak di skrin di atas pentas, kedua-duanya kelihatan bingung seketika kerana tidak pasti apa yang berlaku.

Setelah pengumuman ‘dua pemenang’ dibuat, mereka terus saling berdakap dan meraikan kemenangan mereka.

Kita tunggu lama sangat sampai saya terdengar Nabil cakap kita ada dua juara. Saya cakap dengan Hady - Bro kita juara bro. Kita dua-dua juara. Kita terlupa nak ambil trofi. Kita terus pergi tengah pentas raikannya.

"Lepas tu pihak produksi cakap 'ambil trofi dulu! ambil trofi!' Sampai terlupa sebab terlampau gembira," cerita Naqiu kepada BERITAmediacorp.

"Waktu itu sudah dua tempat teratas, mana-mana pun kita tetap akan dapat rezeki juga, tapi bila dua-dua dapat, saya berasa lebih berbesar hati.

"Alhamdulillah dua-dua pun dapat wang RM100,000 jadi sangat-sangat bersyukur sebab saya pun inginkan dia bukan hanya menang, tetapi inginkan dia maju dengan kerjayanya sendiri," Hady memberitahu BERITAmediacorp.

Memang begitu ketara semangat setiakawan yang cukup tinggi antara Hady dan Naqiu apabila diumumkan sebagai pemenang bersama. Malah, semasa sidang media selepas keputusan diumumkan, mereka dilihat memeluk antara satu sama lain dan saling memberikan kata-kata semangat.

Apabila ditanya sama ada beliau sudah mencapai sasarannya dalam GV, Naqiu berkata: "Kita masuk pertandingan mesti nak jadi juara. Kita tak boleh bohonglah. Saya memang ada sasaran untuk jadi juara. Jadi matlamat tercapai dan saya bersyukur. Walaupun juara bersama tapi tetap juara.”

HADY, NAQIU, JATT SUDAH TERIMA TAWARAN

Hakikatnya, ketiga-tiga pemenang tempat pertama bakal melihat perkembangan positif dalam kerjaya nyanyian mereka.

Diam tak diam, masing-masing sudahpun menerima tawaran-tawaran untuk membuat persembahan.

BERITAmediacorp juga dengar-dengar bahawa Hady sudah disunting untuk menjadi salah seorang pengacara bagi sebuah rancangan baru di Astro.

Namun, Hady hanya berkata: "InsyaAllah saya akan membuat pengumuman."

Naqiu pula menerima rezeki mencurah-curah kerana sudah mendapat tawaran dan 'diikat' untuk memeriahkan pelbagai acara sekurang-kurangnya sehingga tiga bulan mendatang. Ini termasuk satu acara bertemu peminat di Singapura pada 30 Disember nanti.

Bagi Jatt pula, beliau bakal ke Kuching, Sarawak pada hujung tahun untuk membuat persembahan sempena sambutan Tahun Baru.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita