Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pak Nil ketengah isu buli siber dalam lagu pertama lebih sedekad

Berdiam diri tanpa melakukan sebarang kerja bukan menjadi sifat personaliti tersohor Aznil Nawawi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pak Nil ketengah isu buli siber dalam lagu pertama lebih sedekad
Diterbitkan : 15 Jul 2020 12:03PM Dikemas Kini : 15 Jul 2020 12:12PM

KUALA LUMPUR: Berdiam diri tanpa melakukan sebarang kerja bukan menjadi sifat personaliti tersohor Aznil Nawawi.

Sekalipun beliau tidak lagi kerap muncul di kaca televisyen untuk mengendalikan rancangan atau bersiaran di radio sebagai penyampai, namun, percaya atau tidak, jadual hariannya sangat padat.

Kerja-kerja kemasyarakatan yang kebanyakannya dilakukan secara diam-diam adalah antara yang menjadi tumpuan selebriti yang mesra disapa sebagai Pak Nil ini.

Yayasan Pesona yang diasaskannya sejak dua tahun lalu membuatkan otaknya sentiasa ligat mencari idea mendekati generasi muda bagi membangunkan keperibadian dan keyakinan diri mereka.

Berkat kerjasama dengan Kementerian Pendidikan misalnya, Pak Nil sudah mendekati ribuan pelajar sekolah rendah dan menengah menerusi jelajah seluruh negara untuk berkongsi ilmu dan pengalaman membentuk personaliti yang menawan, lapor Astro AWANI.

Sekalipun masih terikat dengan kerja-kerja kebajikan lain, anak seni kelahiran Kuala Lumpur ini masih memperuntukkan waktu untuk bersama-sama pihak berwajib mencari cara membanteras isu buli siber.

Bukan dengan cara berkempen atau memberi ucapan, sebaliknya, berteraskan cinta dan minat pada bidang nyanyian, Pak Nil merakamkam sebuah lagu yag mesejnya mencegah jenayah itu.

Selepas lebih sedekad tidak merakamkan sebarang lagu, Pak Nil menjadikan tahun 2020 sebagai masa terbaik untuk menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk menyampaikan mesej menerusi sebuah karya istimewa berjudul Apo.

Single Apo yang dilancarkan pada 10 Julai lalu berkisarkan buli siber ciptaan Archie Nasution dan Reza Ramsay. Liriknya pula merupakan buah fikiran daripada personaliti itu sendiri.

Apo adalah manifestasi beliau terhadap masalah sosial yang sepatutnya menjadi kebimbangan semua pihak.

“Saya bimbang melihat isu buli siber terus bermaharajela dunia media sosial tiada kawalan. "Warganet dan wira papan kekunci bebas melontarkan kata nista dan kecaman. Begitu juga seperti ejekan tubuh, rasis, mempersenda agama, politik dan macam hal lagi. Saya sangat-sangat bimbang,” katanya semasa berkongsi rasa mengenai isu berkenaan bersama Astro AWANI.

Kerana itu, Apo yang inisiatif penerbitannya berteraskan tanggungjawab sosial dan diterbitkan oleh Yayasan Pesona bersama Scifi Record dan Sony Music itu diharapkan setidak-tidaknya menjentik kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Saya berharap lagu ini membuka mata agensi berkaitan atau kementerian untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha mengangkat isu buli siber," kata Pak Nil yang kini aktif mengadakan promosi single Apo.

TERHARU DENGAN RESTU RAJA PERMAISURI AGONG

Single Apo ini juga, disifatkan Pak Nil terlalu istimewa buatnya kerana dalam lirik lagu berkenaan turut dimuatkan petikan nama akaun Twitter, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di bawah nama Che Minah Sayang yang pernah digunakannya sebelum ini.

"Saya ada menghantar mesej kepada baginda dalam Instagram (IG) dan memaklumkan meletakkan nama akaun Twitter baginda dalam lirik lagu ini. Saya mahu minta perkenan baginda.

"Selepas mendapat balasan nombor untuk dihubungi, saya menelefon baginda. Saya turut melakukan dengan cara protokol dengan menulis surat dan memohon perkenan Istana Negara.

"Alhamdulillah, baginda secara peribadi mengizinkannya. Saya gementar sampai menggigil sebab nak bercakap dengan baginda dalam telefon. Bayangkan, boleh tersasul sekejap bahasakan diri sebagai patik, sekejap saya," kata Pak Nil berkongsi pengalaman terindah dalam kerjaya seninya yang sudah mencecah usia lebih tiga dekad.

Apo secara peribadi, tegas Pak Nil, tidak bermaksud tanda kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian.

Sebaliknya, penghasilan single ini lebih kepada rasa tanggungjawabnya sebagai anak Malaysia.

"Saya tak anggap single Apo sebagai 'comeback' dalam dunia nyanyian. Saya bukan penyanyi serius. Saya penyanyi yang 'fun' dan santai. Lagu ini lebih kepada tanggungjawab,” dedah Pak Nil kepada Astro AWANI.

Sumber : Agensi berita/AW/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan