Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pak Nil buka kedai percuma bantu mangsa banjir bina semula hidup baru

Personaliti Aznil Nawawi, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Nil, mengakui tidurnya tidak lena sejak kebelakangan ini ekoran asyik mengenangkan nasib mangsa banjir.

Anggaran Waktu Membaca:
Pak Nil buka kedai percuma bantu mangsa banjir bina semula hidup baru

(Gambar: Datuk Aznil Hj Nawawi/Instagram)

KUALA LUMPUR: Personaliti Aznil Nawawi, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Nil, mengakui tidurnya tidak lena sejak kebelakangan ini ekoran asyik mengenangkan nasib mangsa banjir.

Justeru, beliau mendapat idea untuk mewujudkan 'Kedai Percuma Pak Nil', lapor Malaysiakini.

Pengacara terkenal itu berkata usahanya itu bermula selepas beliau menghimpunkan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor, membina semula hidup baru.

“Cetusan idea datang selepas saya melakukan usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ.

“Saya sebelum ni dihubungi seorang pengikut Instagram yang mengadu masalah mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir.

“Bila jejakkan kaki ke kawasan tu, saya turut berkongsi kesedihan melihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” beliau memberitahu Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp.

Pak Nil berkongsi kedai percuma yang ditempatkan di sebuah kawasan di situ ditubuhkan pada 30 Disember lalu.

Melalui pemerhatian Pak Nil, 59 tahun, kawasan tersebut seakan terpinggir daripada pandangan umum malah beliau mendapati bantuan orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) juga agak kurang.

Menurut beliau lagi, penduduk kampung sebelum itu makan makanan yang dimasak secara rewang menggunakan modal sumbangan yang dikutip dalam kalangan pengikut media sosial miliknya.

“Dalam sehari, kami boleh sediakan hampir 1,000 bungkusan makanan kepada mangsa banjir. Mereka hanya bergerak pulang dari PPS selepas banjir surut.

“Tapi kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan baik pulih rumah mereka. Barang keperluan asas untuk dapur dan keperluan diri pun tak ada.

“Itu yang saya terfikir kenapa tak wujudkan saja kedai percuma untuk mereka,” ungkapnya.

BELI SENDIRI BARANG-BARANG

Pada awalnya, menurut Pak Nil, dia bekerjasama dengan dua buah syarikat untuk membeli barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal dan lampin bayi.

Kemudian, kata beliau, timbul idea untuk mengumpul keperluan asas berkenaan dari duit sumbangan orang ramai.

“Saya sendiri beli barang-barang itu guna duit sumbangan dan letakkan di satu kedai yang menyediakan keperluan asas secara percuma.

“Mangsa banjir boleh ke kedai tu untuk ambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka saja,” katanya.

Pak Nil turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai sekiranya mereka sudi menyalurkan bantuan bagi menambah keperluan di kedai tersebut.

Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghantar sendiri barang-barang itu ke kedai tersebut atau menyalurkan wang ke akaun Pak Nil atau melayari Instagram @aznilnawawihm untuk menyemak butiran lanjut.

“Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” kata Pak Nil.

TIDAK BOLEH BERPELUK TUBUH, MESTI BUAT SESUATU

Sementara itu, berkongsi lanjut pengalamannya sewaktu membuat kunjungan kemanusiaan ke sana beberapa kali, Pak Nil berkata air matanya jatuh bercucuran.

“Amat sedih apabila tengok keadaan yang perlu mereka hadapi. Situasi yang ditempuhi mereka membuatkan saya sentiasa terbayangkan bagaimana jika saya atau keluarga yang perlu melalui dugaan sama.

“Saya fikir tak boleh nak berpeluk tubuh, perlu lakukan sesuatu untuk bantu mangsa bina kehidupan mereka semula,” ujarnya kepada Malaysiakini.

Namun, menurut Pak Nil, beliau tidak menyangka begitu ramai rakyat Malaysia yang prihatin dan pemurah terutama selepas mengajak pengikut akaun media sosialnya seperti TikTok dan Instagram untuk mengumpul dana.

“Rakyat Malaysia sesungguhnya masyarakat yang pemurah, Subhanallah… Hari pertama saya umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan yang diterima luar biasa.

“Saya menangis lihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan tu saya agihkan kepada wakil saya di sana.

“Itulah yang menjadi motivasi untuk saya teruskan dengan kerja-kerja kemanusiaan ni,” ungkapnya.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan