Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Pak Hamid dirawat akibat batuk teruk

Anggaran Waktu Membaca:
Pak Hamid dirawat akibat batuk teruk

(Gambar: Facebook/Hamid Gurkha)

Diterbitkan : 09 Jun 2022 04:11PM Dikemas Kini : 09 Jun 2022 04:16PM
KUALA LUMPUR: Pelawak legenda, Hamid Gurkha, 90 tahun, dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada pagi Khamis (9 Jun) selepas mengalami batuk berkahak, sejak malam tadi, lapor BH Online.

Anak bongsunya, Nor Ashita bagaimanapun menafikan bapanya tenat hingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Nor Ashita memberitahu BH Online, bapanya stabil dan kesihatan terkawal.

"Terkejut apabila dapat tahu ada rakan artis dimaklumkan bapa berada di ICU. Sebenarnya, bapa saya cuma batuk berkahak sejak malam tadi.

"Jadi, kira-kira jam 6 pagi tadi, bapa minta kami bawa ke HTAR. Ketika itu, bapa hanya dirawat sebagai pesakit luar dan diberi pemerhatian termasuk bekalan oksigen.

"Cuma selepas dirawat, doktor yang memeriksa dan memantau beritahu bapa perlu ditahan dalam wad. Ketika ini, bapa sedang menunggu dimasukkan ke wad biasa," katanya.

Nor Ashita berkata, kakaknya, Nor Azian sedang berada di HTAR untuk menguruskan segala keperluan.

"Dengan keadaan semasa negara, pelawat tidak dibenarkan masuk. Bapa faham dan dia okay sendirian. Bapa pun rimas batuk berkahak membuatkan dia cepat penat," katanya.

Pada 11 Mei lalu, BH Online melaporkan perkembangan terkini Pak Hamid yang masih kuat dan mampu berdikari pada usia mencecah 90 tahun, malah menjadi sumber kekuatan isteri dan anak-anak.

Isterinya, Timah Abdul Hamid, 80 tahun, atau Mak Timah dilaporkan berkata, jati diri sebagai bekas anggota tentera, menjadikan Hamid Gurkha yang mesra disapa Pak Hamid, tidak putus asa walaupun semakin uzur.

Sebelum ini, Pak Hamid pernah disahkan positif COVID-19, namun, pulih.

Cik Timah berkata, sama ada solat, berjalan di laman rumah, makan atau ke bilik air, semuanya Pak Hamid mahu lakukan sendiri, namun, dia dan anak-anak tetap memantau dan membantu.

Tambahnya, Pak Hamid hanya sakit COVID-19 dan sakit tua. Tetapi dalam keadaan sakit pun boleh ke bilik air sendiri, hendak dipimpin dia tak bagi walaupun selalu jatuh tersungkur.

Ketika ditemuramah, Pak Hamid dilaporkan bersyukur masih ramai mengingati, menziarahi dan mendoakan kesihatan dirinya.

Walaupun mempunyai masalah pendengaran, Pak Hamid dapat menjawab pertanyaan wartawan dengan baik dan ceria.

"Kalau raya, saya makan saja apa yang dimasak isteri dan anak-anak. Semua makan, tiada makanan kegemaran khas. Apa yang saya hendak makan, saya makan.

"Alhamdulillah, saya sihat. Boleh bangun, boleh berjalan, boleh solat. Ramai juga datang beraya tetapi saya tidak pergi beraya... Doakan saya iya," katanya mengakhiri perbualan.

Pak Hamid dan Cik Timah mendirikan rumah tangga enam dekad pada April 1957. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya matanya, namun dua daripadanya meninggal dunia.

Pak Hamid juga dikurniakan 32 cucu, lapor BH Online.

Pak Hamid kali terakhir berlakon menerusi filem Superbike The Movie bersama Kamal Adli, Shiqin Kamal dan Fizo Omar pada 2019.

Dilaporkan, anak-anak tidak menggalakkan Pak Hamid berlakon berikutan masalah pendengaran biarpun penglihatan pelawak ini masih baik untuk membaca skrip.
Sumber : Agensi berita/SU/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan