Otai lagu Melayu, Linda Elizabeth, sedia rakam lagu kalau ada tawaran
Linda Elizabeth – penyanyi bukan Melayu yang pernah popular dengan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab, sedia buat ‘comeback’ jika ada tawaran.
Linda Elizabeth (Gambar-gambar: Linda Elizabeth)
BERITAmediacorp: Masih ingat lagi dengan lagu Hati Sepi Seorang Perempuan dan Sakit Sakit Sakit? Jika jawapan anda ‘Ya’, bermakna anda tahu siapa penyanyinya, iaitu Linda Elizabeth. Lagu tersebut dikeluarkan pada tahun 1984.
Walaupun sudah lama tidak mengeluarkan sebarang album baru, kini pada usia lewat 50-an tahun, Linda masih lagi menyanyi sebenarnya. Beliau aktif menyanyi di kelab. Linda memberitahu BERITAmediacorp, jika ada sebarang tawaran merakamkan album atau lagu, semestinya beliau masih lagi berminat untuk menerima.
Bagi generasi lebih muda, mungkin mereka kurang tahu tentang penyanyi bernama Linda Elizabeth. Namun demikian, penyanyi Singapura ini akan terus tertancap sebagai antara penyanyi bukan Melayu yang berjaya mencipta nama dalam dunia muzik Melayu pada tahun-tahun 1980-an dan 90-an.
ANTARA PENYANYI BUKAN MELAYU DISUNTING AHMAD NAWAB
Linda Elizabeth sebenarnya mula menjadi popular menerusi lagu-lagu ciptaan komposer serta penerbit tersohor Ahmad Nawab khususnya menerusi lagu berjudul Hati Sepi Seorang Perempuan. Ketika itu, Linda baru berusia 20-an tahun.
Beliau antara barisan penyanyi bukan Melayu yang disunting untuk merakamkan album penuh sebanyak 10 buah lagu setelah Ahmad Nawab tertarik dengan persembahan Linda Elizabeth menyanyi di lounge Rainbow di Kuala Lumpur bersama abangnya, penyanyi Max Surin dan kumpulan Tokyo Square.
Menerusi lagu Hati Sepi Seorang Perempuan itu jugalah, jalan terbuka untuk Linda membuat persembahan bagi acara ulang tahun Sultan Brunei pada tahun 1988 bersama beberapa penyanyi lain.
Linda bersama abangnya, Max (Gambar-gambar: Linda Elizabeth)
Ketika mengimbas kembali zaman kegemilangannya membawakan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab, Linda mengatakan bahawa beliau sebenarnya tidak mengenali siapakah komposer tersebut ketika itu.
“I tak kenal dia waktu itu bila dia datang pada I. I pun tak tahu dia siapa, pekerja sana kata itu Ahmad Nawab. Dia terkenal di KL kata mereka,” cerita Linda baru-baru ini kepada BERITAmediacorp.
1 MINGGU SAHAJA RAKAM 10 LAGU
Meskipun Linda bukan berbangsa Melayu, beliau tidak mempunyai masalah langsung untuk merakamkan 10 buah lagu hanya dalam seminggu untuk album pengenalannya itu.
“I rakam lagu di studio Redifussion, bukan studio yang ‘fancy’, hanya studio kecil. I tiada masalah dengan bahasa Melayu sebab I memang boleh bercakap Melayu,” imbas Linda.
Apakah kekuatan lagu-lagu terbitan Ahmad Nawab itu sehingga nama penyanyi Linda Elizabeth menjadi popular dalam masa yang singkat ketika itu?
30 TAHUN MENYANYI DAN TETAP BERTAHAN
Walaupun usia hampir mencecah 60 tahun, Linda masih bertahan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau antara penyanyi Singapura yang kaya juga dengan pengalaman menyanyi di kelab dan hotel termasuk di Jepun, Taiwan, Sarawak, Kota Kinabalu dan New York sebelum ini.
Malah, antara tempat paling lama beliau menjadi penyanyi adalah adalah di Swisshotel, Singapura. 14 tahun lamanya! Apabila kontrak tersebut tamat, beliau berpindah pula ke tempat baru iaitu di kelab eksklusif untuk tetamu VIP di Marina Bay Sands bersama abangnya, Max Surin.
Max, sinonim dengan lagu Within You’ll Remain bersama kumpulan Tokyo Square, turut bermain gitar untuk persembahan dengan Linda di Marina Bay Sands.
Kami bertanya kepada Linda, benarkah para penyanyi kelab malam dan lounge boleh bertahan lama, berbanding penyanyi-penyanyi yang hanya menyanyi untuk acara-acara biasa sahaja?
Hakikatnya, para penyanyi kelab malam lazimnya harus menyanyi beberapa set lagu setiap malam, sekali gus ia lebih banyak mengasah suara mereka jika dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi yang tidak menyanyi di kelab malam.
“Kami penyanyi kelab ada peluang untuk ‘maintain’ suara macam Jatt Ali. Jika kita berhenti menyanyi, suara kita boleh bertukar,” akui Linda.
KAITAN MENYANYI DENGAN SENAMAN PARU-PARU'
Menariknya, kongsi beliau, menyanyi seakan membuat paru-paru kita untuk “bersenam” juga. Itu yang membuat Linda Elizabeth masih bertahan sehingga kini meskipun dalam usia lewat 50-an rupa-rupanya.
Tambah Linda lagi, apabila seseorang itu menyanyi dalam kamar mandi setiap hari pun boleh dianggap sebagai satu senaman untuk paru-paru kerana ia memerlukan kita untuk bernafas dengan cara yang betul jelasnya panjang.
Seperti penyanyi-penyanyi lain, Linda Elizabeth juga tidak akan menolak sekiranya mendapat tawaran untuk merakamkan lagu baru. Cuma keadaan sekarang berbeza apabila penyanyi-penyanyi harus melabur wang mereka sendiri untuk muncul dengan lagu baru.
“Kalau ada tawaran mengapa tidak? Dulu mereka datang dan tawarkan pada kita jika mereka suka kita. Sekarang, penyanyi-penyanyi baru perlu keluarkan duit sendiri. Itulah masalah utama,” ujar Linda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.