Skip to main content

Hiburan

Orkestra Filharmonik Malaysia anjur konsert penghargaan Sharifah Aini pada 6 Jun

Anggaran Waktu Membaca:
Orkestra Filharmonik Malaysia anjur konsert penghargaan Sharifah Aini pada 6 Jun

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Apr 2026 12:17AM Dikemas Kini : 22 Apr 2026 12:18AM
KUALA LUMPUR: Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal menghidupkan kembali lagu-lagu dendangan Allahyarham Sharifah Aini menerusi konsert 'A Tribute to Sharifah Aini' pada 6 Jun depan di Dewan Filharmonik Petronas.

MPO dalam satu kenyataan pada Selasa (21 Apr), menyatakan bahawa konsert itu dianjurkan sebagai penghargaan kepada legasi seni Biduanita Negara berkenaan yang disifatkannya sebagai satu institusi muzik tersendiri.

Menurutnya, meskipun Sharifah Aini sudah berpulang pada 2014, keunggulan vokal serta perjalanan kerjayanya beliau yang luar biasa terus menjadi rujukan penting dalam industri muzik tanah air.

Penyanyi yang pernah digelar ‘anak emas EMI’ itu mencipta sejarah tersendiri apabila jualan albumnya mencecah tahap Emas dan Platinum, selain merakamkan kira-kira 700 buah lagu dengan lebih 100 album sepanjang kerjayanya.

Konsert yang akan dipimpin konduktor Ahmad Muriz Che Rose itu menjanjikan pelbagai dimensi seni Allahyarham, merangkumi genre pop, balada, tradisional hingga lagu Inggeris.

Malam itu juga bakal diserikan dengan penampilan Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan, Asmidar dan Shiha Zikir yang akan mempersembahkan lagu-lagu malar segar termasuk Hapuslah Airmatamu, Kenang Daku Dalam Doamu serta Seri Dewi Malam.

Kesemua karya itu diberi nafas baharu menerusi gubahan khas komposer tempatan seperti Azhad Sulaiman, Shahhakam Mokhtar, Jenny Chin, Ilham Subri dan Luqman Aziz, sekali gus mengangkat semula karya-karya ikonik tersebut dalam susunan orkestra yang lebih segar dan menyentuh jiwa.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita