Nurul Aini kongsi belajar Mandarin, tegur pelakon yang 'mengata' dirinya
Nurul Aini - yang memainkan watak doktor dalam drama Cina terbaru The Heartland Hero di samping Fauzie Laili - berkongsi mengapa beliau tidak mengajar anak-anaknya bahasa Mandarin meskipun beliau sendiri fasih bertutur dalam bahasa itu...

Nurul Aini yang menjayakan watak seorang doktor (kanan) dalam drama The Heartland Hero (Gambar: Instagram/Nurul Aini, Mediacorp)
SINGAPURA: Setelah menggondol anugerah Personaliti Wanita Paling Popular sebanyak lima kali di Pesta Perdana, tidak hairanlah jika Nurul Aini diberi jolokan "Ah Jie saluran Suria" oleh sesetengah pihak.
'Ah Jie' merupakan gelaran bagi pelakon veteran tempatan Zoe Tay, perbandingan yang ditolak dengan segan silu oleh Nurul.
“Saya rasa 'paiseh' jika ada orang berkata demikian, tau!" kata Nurul, 39 tahun, semasa ditemubual melalui telefon bersama Mediacorp.
Malah, Nurul mengaku banyak menonton drama di Saluran 8 Mediacorp semasa membesar, seperti The Unbeatables, On The Fringe, dan Samsui Women. Tidak hairanlah, selain menjadi seorang peminat besar Zoe Tay, Nurul juga sedikit sebanyak belajar bertutur dalam bahasa Mandarin.
Dengan keupayaannya bertutur dalam tiga bahasa, Nurul adalah antara segelintir artis tempatan yang membintangi penerbitan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Beliau bakal tampil dalam drama terbaru Cina bertajuk The Heartland Hero sebagai Nora Rashid, seorang doktor kejiranan yang disukai ramai. Penyanyi dan pelakon Fauzie Laily juga bakal muncul memainkan watak saudara lelakinya, Adam Rashid, seorang pegawai polis.
Walaupun Nurul sepatutnya hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam siri itu, penerbit eksekutifnya menyelitkan beberapa dialog dalam bahasa Mandarin selepas mengetahui beliau boleh bertutur dalam bahasa itu.
Ini bukan kali pertama Nurul menyampaikan dialog dalam bahasa Mandarin. Pada 2005 - kali terakhir beliau muncul dalam drama Cina - Nurul digandingkan dengan Vincent Ng dalam drama Love Concierge.
"Saya mula menonton drama Saluran 8 dengan sari kata dalam bahasa Inggeris ketika berusia kira-kira tujuh tahun, tetapi saya tidak sedar dapat menguasai bahasa Mandarin sehingga saya di sekolah menengah," katanya.
Menurut Nurul, seorang pelajar mendekatinya pada hari pertama orientasi dan bercakap dengannya dalam bahasa Mandarin. Apa yang mengejutkan buat Nurul sendiri adalah beliau dapat memahami semua yang dikatakan, bahkan menjawabnya dalam bahasa Mandarin.
"Saya sendiri terkejut!" kongsi beliau. “Sejak itu, saya sedar bahawa saya sebenarnya dapat memahami dan bertutur dalam bahasa Mandarin. Saya juga mempunyai banyak kawan Cina di sekolah menengah, jadi saya mula bercakap lebih banyak dalam bahasa Mandarin ketika bersembang dengan mereka. "
Menguasai bahasa itu juga mempunyai kelebihan buat Nurul. Pernah bekerja di hotel sebelum menjadi artis, Nurul berkata penguasaan bahasa itu memudahkan kerjanya terutama apabila berkomunikasi dengan tetamu dari China.
Malah, ia juga membantunya apabila ada orang mengata tentang dirinya dalam bahasa Mandarin, kerana menyangka Nurul tidak faham bahasa itu.
"Ia melibatkan seorang lagi pelakon, tapi saya tidak mahu mendedahkan siapa," kata beliau.
"Kami berada di dalam lif dan dia secara tiba-tiba berkata (dalam bahasa Mandarin): 'Mengapa mereka pilih dia? Tak ada orang lain ke?' Saya pun menoleh ke arahnya dan menjawab (dalam bahasa Mandarin) 'Mengapa saya tidak boleh? Kamu bagus sangat, kah?' Dia terkejut hingga tergamam."
Nurul menerangkan komen itu tidak ada kena mengena dengan pelibatannya dalam drama Love Concierge mahupun The Heartland Hero, dan pelakon terbabit telahpun meminta maaf.
Ditanya pula sama ada sama ada anak-anaknya - Shan, 10 tahun, Shaista, lapan tahun dan Shania, dua tahun - juga sedang belajar bahasa Mandarin, Nurul berkata "malangnya" tidak kerana mereka mendapatinya sukar.
Tambahnya beliau memahami keluhan mereka, kerana beliau sendiri mempunyai rakan-rakan yang anak mereka menghadapi kesukaran belajar bahasa Mandarin.
Katanya lagi, adalah tidak adil membandingkannya dengan anak-anak beliau.
"Saya tonton drama Cina kerana saya sangat gemarinya, dan dahulu tidak banyak pilihan lain. Bukan macam sekarang, di mana adanya Netflix dan banyak lagi. Saya tidak boleh paksa mereka duduk dan tonton drama Cina. Lagipun, saya sendiri tidak dapat mengajar mereka kerana saya tidak boleh membaca tulisan Cina," kongsi beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.