Netizen tuduh Priyanka hipokrit selepas nyalakan bunga api di majlis perkahwinan
Semasa majlis perkahwinan serba mewah bintang Bollywood Priyanka Chopra dan penyanyi Nick Jonas di Hotel Umaid Bhawan Palace, langit dihiasi indah dengan satu pertunjukan bunga api.

Pertunjukan bunga api besar-besaran di Hotel Umaid Bhavan. (Gambar: AP)
NEW DEHLI: Semasa majlis perkahwinan serba mewah bintang Bollywood Priyanka Chopra dan penyanyi Nick Jonas di Hotel Umaid Bhawan Palace, langit dihiasi indah dengan satu pertunjukan bunga api.
Pertunjukan bunga api itu berlangsung selama beberapa minit dan sempat dirakam beberapa pihak media yang hadir di majlis itu.
Namun, agensi berita OpIndia menarik perhatian kepada kiriman Twitter Priyanka beberapa minggu sebelum ini.
Dalam kiriman Twitternya, Priyanka mempertikaikan penggunaan bunga api dalam acara-acara sambutan. Malah, beliau menggesa orang ramai supaya tidak menyalakan bunga api semasa perayaan Diwali kerana ia akan menjejas para pesakit asma.
Priyanka turut berkongsi tentang masalah kesihatan yang pernah dialaminya satu ketika dahulu - beliau juga pesakit asma sejak kecil.
Selepas menonton video yang dikongsi pihak media, ramai warga siber menuduh Priyanka sebagai seorang hipokrit.
Sebilangan warga siber juga bertanya sekiranya tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya. Bunga api tidak boleh dinyalakan selepas jam 8.00 malam di ibu kota itu dan beberapa penduduk diberkas atas kesalahan itu semasa perayaan Diwali sebelum ini, lapor OpIndia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.