Nelydia Senrose diperintah bayar ganti rugi lebih RM89,000 kepada Chriszen
Pelakon Nelydia Senrose hari ini (13 Okt) diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM89,144.03 (S$29,000) kepada Chriszen Malaysia Sdn Bhd .
Pelakon Malaysia Nelydia Senrose. (Gambar: Instagram/ @nelydiasenrose)
KUALA LUMPUR: Pelakon Nelydia Senrose hari ini (13 Okt) diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM89,144.03 (S$29,000) kepada Chriszen Malaysia Sdn Bhd selepas syarikat kosmetik berkenaan memenangi kes saman terhadap heroin filem 'Jebat' itu, yang didakwa melanggar perjanjian sebagai duta jenama produk kecantikan Chriszen pada tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah memerintahkan Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 26 tahun, membayar ganti rugi selepas membenarkan tuntutan saman difailkan Chriszen Malaysia selaku plaintif.
Hakim memerintahkan Nelydia selaku defendan kedua, membayar ganti rugi khas bagi penyediaan acara berjumlah RM16,869.03 (S$5,500), ganti rugi am sebanyak RM10,000 (S$3,300) dan pelakon itu juga diminta mengembalikan kos perkhidmatan sebanyak RM62,275 (S$20,400) kepada Chriszen Malaysia serta membayar kos sebanyak RM10,000 (S$3,300).
Mengenai kos perkhidmatan berjumlah RM102,275 (S$33,500) yang sepatutnya dikembalikan semula kepada plaintif, mahkamah berpendapat defendan kedua hanya perlu membayar RM62,275 (S$20,400) selepas mengambil kira pelakon itu telah membelanjakan RM40,000 (S$13,100) bagi sesi fotografi.
Encik Shamsudin, dalam penghakimannya berkata Nelydia tidak ikhlas dalam melaksanakan tugasnya sebagai duta jenama produk kecantikan itu.
"Mahkamah mendapati defendan lebih mengutamakan bulan madu perkahwinannya daripada mematuhi perjanjian duta jenama berkenaan. Oleh itu, mahkamah mendapati alasan sebenar mengapa beliau tidak menghadiri acara pelancaran produk Chriszen adalah kerana bulan madu dan bukan kerana plaintif (Chriszen) tidak memberi notis secukupnya," kata hakim itu.
Encik Shamsudin berkata plaintif memaklumkan kepada Nelydia sejak 8 Mac 2019 tentang acara yang akan diadakan pada 25 April 2019 dan tarikh tersebut turut dipersetujui oleh syarikat yang menyelia dan menguruskan Nelydia iaitu Alfie Management Sdn Bhd bagi pihak selebriti berkenaan.
Bagaimanapun, hakim itu berkata pada 13 Ogos 2019 penghakiman ingkar telah dimasukkan terhadap Alfie Management yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan pertama dalam kes saman berkenaan.
Mahkamah juga berpuas hati bahawa Nelydia sendiri mengetahui bahawa beliau tidak dapat menghadiri acara itu sejak 24 Mac 2019, namun hanya menunggu 19 hari kemudian, iaitu pada 12 April tahun yang sama untuk memaklumkan kepada plaintif mengenai ketidakhadirannya.
"Mahkamah berpuas hati bahawa mesyuarat yang diadakan pada 12 April 2019 adalah atas inisiatif plaintif dan jika tidak kerana mesyuarat itu, plaintif tidak akan tahu yang defendan kedua tidak dapat hadir pada acara tersebut.
"Mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan yang menunjukkan defendan kedua (Nelydia) gagal mematuhi terma-terma perjanjian dan tindakan plaintif mengeluarkan notis 30 hari kepada defendan kedua untuk menjawab emel yang dihantar kepadanya adalah berasas.
"Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah mendapati pihak plaintif berjaya membuktikan kes dan defendan kedua telah gagal untuk membuktikan pembelaannya. Oleh yang demikian, tuntutan saman plaintif dibenarkan," kata hakim itu lagi.
Pada 7 Okt 2019, Chriszen Malaysia menyaman Alfie Management dan Nelydia sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam penyataan tuntutan, Chriszen Malaysia menyatakan Nelydia yang membintangi drama 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' dilantik sebagai duta jenama Chriszen melalui satu perjanjian bertarikh 21 Dis 2018 dan berdasarkan perjanjian, kedua-dua defendan perlu mempromosikan produk syarikat termasuk membuat hantaran mengenai produk sebanyak 15 kali di media sosial.
Syarikat kecantikan dan penjagaan kulit itu mendakwa pada Mac 2019, Nelydia bersetuju untuk menghadiri satu acara pelancaran media 'Match Matte Serum Foundation' yang akan berlangsung pada 25 April 2019.
Bagaimanapun, dakwa plaintif pada 12 April tahun sama, pihaknya dimaklumkan bahawa Nelydia tidak akan menghadiri acara tersebut tanpa apa-apa penjelasan yang munasabah.
Syarikat itu mendakwa, defendan pertama iaitu Alfie Management, yang menyelia dan menguruskan selebriti itu juga tidak mengambil apa-apa langkah untuk membetulkan ketidakhadiran artisnya atau memberi penjelasan yang munasabah.
Menurut Chriszen Malaysia, atas persetujuan Nelydia untuk menghadiri acara tersebut, plaintif membuat penyediaan bahan pemasaran dan promosi termasuk menyewa jurudandan serta model untuk demonstrasi pelancaran solekan.
Dakwa plaintif, ketidakhadiran Nelydia menyebabkan reputasi Chriszen Malaysia tercalar dan syarikat itu terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM61,702.40 (S$20,2000) selain menuntut kedua-dua defendan memulangkan semula kos perkhidmatan berjumlah RM102,275 (S$33,500)yang sudah diberikan kepada mereka.
Dalam prosiding itu, Chriszen diwakili peguam Tan Eng Keat dan Lim Sin Yee, manakala Nelydia yang tidak hadir diwakili peguam Amirul Izzat Hasri dan Lim Zi-Han.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.