Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Naz Carpentry bersedia tutup kes saman terhadap Awal Ashaari melalui pengantaraan

Syarikat khidmat ubah elok dan perhiasan rumah di Malaysia, Naz Carpentry, menyuarakan keterbukaannya serta bersedia untuk menyelesaikan kes samannya terhadap pengacara Awal Ashaari secara baik menerusi proses pengantaraan.

Anggaran Waktu Membaca:
Naz Carpentry bersedia tutup kes saman terhadap Awal Ashaari melalui pengantaraan

(Gambar fail: Awal Ashaari/Facebook)

Diterbitkan : 06 Sep 2021 11:00PM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 11:02PM

KUALA LUMPUR: Syarikat khidmat ubah elok dan perhiasan rumah di Malaysia, Naz Carpentry, menyuarakan keterbukaannya serta bersedia untuk menyelesaikan kes samannya terhadap pengacara Awal Ashaari secara baik menerusi proses pengantaraan.

AstroAWANI melaporkan dalam satu kenyataan media pada Isnin (6 Sep), jurucakap Naz Carpentry, Saiful Ridzuan, berkata syarikat itu berharap rundingan berkenaan akan memulihkan reputasi mereka.

"Naz Carpentry sentiasa terbuka untuk mencapai persetujuan 'saling menguntungkan kedua-dua pihak' bagi krisis reputasi ini.

"Apa yang penting adalah keputusan yang disasar oleh kedua-dua pihak mestilah memastikan jenama Naz Carpentry yang telahpun dicemari akan berjaya dipulihkan," ujarnya.

Encik Saiful berkata sebelum ini, Awal membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyelesaikan kes berkenaan secara pengantaraan dan bukannya menerusi perbicaraan di mahkamah, menurut AstroAWANI.

Mahkamah pada awal Julai lalu membenarkan permohonan Awal sebagai defendan kes berkenaan dan mencadangkan kes saman fitnah itu dirujuk kepada Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, peguam mewakili Naz Carpentry, Nurul Hafidzah Hasan dan Wan Azmir Wan Majid, berkata: "Anak guam bersedia untuk perbicaraan namun pada masa sama, berbesar hati untuk berunding bagi menyelesaikan kes ini".

Proses pengantaraan antara kedua-dua pihak itu akan bermula pada 12 Oktober depan.

Pada 13 November tahun lalu, media tempatan melaporkan Naz Empire memfailkan saman terhadap Awal dan dua rakan kongsi perniagaan atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise iaitu Nawal Yasmin Mat Noh serta Muhammad Hilmi Zulkifli kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman selebriti tersebut.

Menurut Naz Empire dalam pernyataan tuntutannya, Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi menjalankan perniagaan secara perkongsian atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise dan didakwa sering berkongsi siaran-siaran gambar atau video berkaitan ubah elok atau perhiasan rumah di laman media sosial Instagram mereka, @houseofsix.my.

Menurut AstroAWANI, syarikat itu mendakwa kerja-kerja pengubahelokan dimulakan selepas defendan pertama (Awal) membayar deposit sebanyak RM100,000 (S$32,300) menerusi dua urus niaga pada Ogos 2019 dan sekitar 3 September 2019.

Plaintif mendakwa defendan mengatakan bahawa beliau mahukan 'sky roof' dan tambahan tingkap di dapur rumah barunya itu.

Ini menyebabkan plaintif memberi sebut harga baru kepada defendan pertama untuk kos pengubahelokan sebanyak RM7,500 (S$2,430).

Dakwa plaintif, lapor AstroAWANI, Awal secara tiba-tiba menimbulkan pelbagai isu dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hasil atau mutu kerja plaintif.

Awal juga memberhentikan syarikat terbabit daripada terus membuat kerja pengubahelokan serta meminta ia memulangkan semula wang deposit sebanyak RM100,000.

Plaintif mendakwa lagi bahawa Awal memulakan siri fitnah secara berterusan terhadap plaintif di laman sosial Instagram dan Facebooknya. Selain itu, Awal juga didakwa memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas 'SchaAwal' atas tujuan sama, lapor AstroAWANI.

Naz Empire sudahpun mengemukakan saman berjumlah RM3 juta (S$971,000) terhadap Awal kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan